Peter Tak Sertai STAR, Kekal Tubuh Parti Baharu

Peter Anthony kekal dengan keputusan menubuhkan parti baharu berasaskan masyarakat Kadazan Dusun Murut yang mesra kerajaan Sabah pada bulan ini.

KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony kekal dengan keputusan untuk meneruskan hala tuju politiknya dengan penubuhan parti baharu.

Katanya, beliau menghargai jemputan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan yang mempelawanya dengan seorang lagi wakil rakyat yang sudah keluar Warisan, Juil Nuatim untuk menyertai parti berkenaan.

“Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu, tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kepada kemajuan Sabah.

“Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai respons kepada pelawaan Jeffrey yang mengajak beliau bersama Juil menyertai STAR.

Pelawaan Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, menyusul pengumuman Peter dan Juil meninggalkan Warisan pada Selasa lalu.

Peter dilaporkan berkata, beliau akan menubuhkan parti baharu berasaskan masyarakat Kadazan Dusun Murut yang mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah dalam bulan ini.

Susulan itu, Jeffrey pada Khamis lalu berharap Peter membatalkan hasratnya menubuhkan parti baharu kerana beranggapan ada terlalu banyak parti tempatan di Sabah.

Sementara itu, Peter mengalu-alukan kesatuan dalam kalangan pemimpin Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR), selain berpendapat gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat sebagaimana berlaku pada pilihan raya negeri di Sarawak baru-baru ini.

“Sebenarnya, usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing-masing.

“Kami akan terus berbincang untuk dapatkan satu solusi penyatuan, bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik KDMR, tetapi semua pemimpin Sabah,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *