Pimpinan Tertinggi UMNO Perlu Tumpu Usaha Kukuhkan Parti – UMNO Sabah

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

SANDAKAN : UMNO Sabah hari ini meminta semua pemimpin tertinggi UMNO pusat memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan parti dan tidak terlibat memecahbelahkan perpaduan dalam parti itu.

Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kepimpinan tertinggi UMNO tidak boleh bertelagah sesama sendiri demi memastikan UMNO terus mendapat sokongan dan tempat di hati rakyat.

“Hari ini, semua UMNO bahagian bermesyuarat dan UMNO Sabah akan mengetengahkan beberapa usul secara serentak, antaranya bagaimana memperkasakan parti dan pemimpin.

“…dalam UMNO kita tidak boleh ada pertelagahan yang ketara antara pemimpin…ia (pertelagahan) akan melemahkan parti dan semangat perjuangan di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di sini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata UMNO Sabah seiring dengan keputusan UMNO pusat untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Berbeza dengan kerjasama yang dijalinkan dengan PN menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas, beliau menjelaskan Badan Perhubungan UMNO Sabah mempunyai autonomi negeri untuk menjalinkan kerjasama itu.

“Untuk pilihan raya di peringkat Parlimen (PRU15), kita (UMNO Sabah) ikut autonomi UMNO pusat. Itu perjanjian kita sebab yang mahu jadi Perdana Menteri bukan kami,” katanya.

Bung Moktar berkata mesyuarat perwakilan seluruh negara hari ini akan menjadi pemangkin untuk berhadapan dengan PRU15.

Menurutnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar ingin menerajui kepimpinan negara melalui pendekatan baharu dengan meletakkan pelbagai kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan. 

“Kita telah menjadi pemerintah, kita telah menjadi pembangkang dan kita sudah tahu dan maklum apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan…apa yang kita boleh terapkan kepada rakyat bagi memastikan rakyat akan terus bersama-sama dalam memperkasakan perjuangan ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *