Warisan Bakal Bertembung Dengan DAP & PKR?

Shafie Apdal ketika di majlis pelancaran kemasukan Warisan di Semenanjung semalam berkata sudah tiba masa untuk melakukan perubahan landskap politik negara dengan menumpukan kesepaduan semua kaum.

KOTA KINABALU: Warisan mungkin menuju kepada konfrontasi dengan DAP dan PKR berhubung kerusi yang akan ditandinginya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang susulan keputusannya melebarkan sayap ke Semenanjung dari Sabah.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Warisan mungkin akan bertanding di kebanyakan kerusi dipegang oleh DAP dan PKR memandangkan sukar untuk ia menembusi kawasan majoriti Melayu.

“Orang Melayu yang tidak selesa dengan sikap perkauman Umno, PAS yang terlalu berimej agama dan PKR yang terlalu liberal, akan pergi kepada Bersatu,” katanya.

“Begitu juga dengan pengundi yang tidak selesa dengan PKR yang menjadi terlalu oportunis dan DAP terlalu berimej Cina serta tidak mahu mengundi pihak di sebelah lagi, mungkin pergi kepada Warisan.”

Oh Ei Sun.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata sasaran Warisan kepada kerusi majoriti campuran dan bukan Islam akan menyebabkannya “bertembung dengan DAP dan PKR, seperti juga MIC dan MCA.”

Warisan secara rasminya melebarkan sayap ke Semenanjung semalam dengan Shafie sebagai calon Perdana Menteri. Presiden parti itu berjanji “menjadi Perdana Menteri untuk semua” sekiranya menang PRU15.

Merujuk kenyataan Shafie bahawa Warisan ingin “membina negara”, Oh berkata, parti itu mungkin berdepan masalah untuk memenangi hati di Semenanjung kerana Muda dan Pejuang yang mungkin menjadi rakan kongsi, sukar memecahkan dominasi dinikmati oleh Umno, Bersatu dan PAS.

“Ia adalah cita-cita yang tinggi dan akan menguji integrasi nasional,” katanya.

Romzi Ationg.

“Tidak pernah ada peluasan besar dari parti berasaskan Borneo ke Semenanjung dan membawa kesan besar terhadap politik negara.

“Jika Warisan boleh melakukannya, ia akan membayangkan bahawa negara telah benar-benar bersepadu dan rakyat Malaysia saling menerima kedua-dua timur dan barat.”

Romzi berkata peluasan sayap Warisan boleh dilihat sebagai strategi untuk menyatukan peluang di peringkat persekutuan tetapi tambahnya ia boleh memberi tindak balas di Sabah.

“Peluasan itu tidak semestinya menyumbang kepada pengaruh Warisan dalam politik Malaysia tetapi akan melemahkan pengaruhnya di peringkat negeri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *