Sabah Benarkan Aktiviti Keagamaan & Kunjungan Sempena Krismas

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Penganut Kristian di Sabah yang akan menyambut Krismas pada 25 Disember ini dibenarkan menunaikan aktiviti keagamaan di gereja dan menerima kehadiran tetamu di rumah dengan kehadiran 50 peratus kapasiti ruang.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, kehadiran penganut dan tetamu bagaimanapun hanya untuk yang sudah lengkap vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataannya berhubung SOP sambutan Krismas Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri itu, berkata aktiviti keagamaan di gereja turut dihadkan kepada maksimum dua jam, manakala kunjungan tetamu di rumah dihadkan selama tiga jam.

Katanya, aktiviti membabitkan sentuhan termasuk bersalaman dan berpelukan juga tidak dibenarkan, manakala kehadiran kanak-kanak di bawah 12 tahun perlu ditemani ibu bapa yang sudah lengkap vaksin.

“Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian pelitup muka perlu dilaksanakan sepanjang aktiviti keagamaan di rumah ibadat dan kehadiran tetamu di rumah atau kediaman penganut.

“Pemeriksaan suhu juga perlu dilakukan sebelum masuk ke rumah ibadat atau kediaman dan jika ada penganut atau pengunjung dikesan mencatat suhu melebihi 37.5 darjah celsius, ahli jawatankuasa rumah ibadat atau tuan rumah perlu memastikan mereka tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Sementara itu, katanya, pengagihan makanan berbungkus di rumah ibadat dibenarkan, manakala bazar sempena Krismas juga dibenarkan namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata, SOP itu ditetapkan untuk aktiviti menjelang Krismas pada 24 Disember dan sambutan Krismas pada 25 Disember.

Selain itu, beliau berkata, SOP yang sama turut ditetapkan bagi aktiviti keagamaan bukan Islam dan kunjungan tetamu sempena sambutan akhir tahun dan tahun baharu pada 31 Disember dan 1 Januari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *