Kerajaan GRS Salur RM42.9 Juta Kepada Sekolah, Badan Keagamaan Bukan Islam Di Sabah

Ketua Menteri Hajiji Noor (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan cek replika bantuan kewangan kerajaan negeri oleh Menteri Kewangan II, Masidi Manjun (dua dari kiri) kepada Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Jerry Dusing. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyalurkan kira-kira RM42.9 juta untuk bantuan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah tahun ini.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM17.9 juta bantuan adalah kepada sekolah, antaranya Sekolah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan,
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, tadika dan sekolah swasta.

Bantuan kepada badan keagamaan pula iaitu gereja, kuil dan tokong membabitkan sejumlah RM24.9 juta.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan saksama, kita akan meneruskan bantuan dan peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.

“Bantuan itu juga sebagai tanda dan bukti bahawa kerajaan negeri GRS serius serta ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Krismas Kota Kinabalu anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah di Padang Merdeka, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited memastikan perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh di negeri ini akan terus berkekalan.

Katanya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, perlu dihindari bagi membolehkan negeri ini merealisasikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan berkesan untuk meningkatkan lagi ekonomi sekaligus memacu pembangunan dan kemajuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran apa juga festival, karnival dan program-program yang menjurus ke arah pemantapan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Penganjuran festival Krismas dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

“Sememangnya semangat seumpama ini sudah lama diamalkan di Sabah dan ia juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri”, katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *