Kemiskinan Di Borneo Bukti DEB Gagal, Kata Syed Saddiq

Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, DEB pada asalnya bertujuan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan semua bangsa.

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu disemak semula kerana telah gagal, yang dibuktikan dengan tahap kemiskinan di Malaysia Timur, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata dasar yang diumumkan pada 1970 susulan rusuhan Mei 13 setahun sebelumnya ada elemen baik yang wajar diteruskan, namun turut mempunyai beberapa bahagian tidak elok yang perlu dihapuskan.

Syed Saddiq berkata wujud keperluan untuk belajar daripada kesilapan yang berlaku berkaitan DEB, dan dasar itu juga perlu diperbaharui.

“Lihatlah Sabah dan Sarawak. Walaupun berdekad-dekad DEB dilaksanakan, suku daripada bumiputera Sabah dan Sarawak masih hidup di bawah garis kemiskinan.

“Itu petunjuk kegagalannya,” katanya dalam wawancara bersama bekas diplomat, Dennis Ignatius.

Ahli Parlimen Muar itu menjawab soalan berhubung desakan yang semakin lantang untuk DEB beralih daripada dasar berasaskan bangsa kepada yang berdasarkan keperluan.

Tegasnya, DEB pada asalnya bertujuan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan semua bangsa dan sepatutnya disemak pada 1990, iaitu selepas 20 tahun.

Katanya, kegagalan menyemak semula dasar itu membuka ruang untuk ia disalahgunakan.

“Ia menjadi seperti satu hak berbanding dasar bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik yang benar-benar memerlukan pertolongan, tanpa mengira bangsa.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *