Guru Besar Terima Suapan Didenda

KOTA KINABALU: Seorang guru besar didapati bersalah menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada sebuah pusat zakat, enam tahun lalu.

Tertuduh Majahil Majingkil, 60, dijatuhkan hukuman denda RM3,000 oleh Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, Majahil melakukan kesalahan antara Julai hingga Oktober 2015 di sebuah sekolah di Kinabatangan, kerana menerima sesuatu yang berharga tanpa balasan iaitu sekeping cek daripada Pusat Zakat Sabah yang bernilai RM1,000.

Majahil mengetahui bahawa wang itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh sebagai guru besar di sekolah berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau dengan didenda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh sebelum itu tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan asal namun mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan menetapkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau sebulan penjara jika tidak membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin dan tertuduh diwakili peguam, Datu Baginda Laja. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *