Warisan Pilihan Untuk Rakyat – Shafie

KOTA KINABALU: “Kalau UMNO boleh diundi oleh orang Sabah, tidakkan Warisan tidak boleh diundi oleh orang Muar, Johor contohnya, apa pun kita semua adalah orang Malaysia,”.

Itu pandangan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal apabila ada pihak mempertikai langkah Warisan melebarkan sayap parti ke Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, di negara ini, rakyat tidak punya banyak pilihan hingga menyebabkan tiada perubahan besar yang berlaku.

Maka, sudah tiba masanya Warisan sebagai parti yang berbilang bangsa dan agama melebarkan sayap ke Semenanjung untuk memberi pilihan kepada rakyat di sana untuk memilih pada pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Semporna berkata, pilihan sedia ada terlalu terhad sebab itu Warisan mahu memberi pilihan menerusi sistem politik sedia ada.

Jika dilihat di negara ini ada UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan berasaskan bangsa dan agama.

“Dari segi perundangan, tiada halangan untuk kita panjangkan sayap ke Semenanjung dan kita yakin, kita juga ada keluarga dan penyokong di sana, banyak penyokong bukan sedikit.

“Perlembagaan parti ini juga membolehkan kita bertanding di 222 kerusi (Parlimen). Itu perlembagaan parti sejak dari awal lagi semasa kita didaftarkan. Ini bermakna, kita boleh bertanding dimana-mana kawasan yang ada.

“Kalau rakan kita Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susah mendapat lesen, mereka boleh menggunakan logo kita,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Warisan, di Dewan Hakka hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, itu bukan bermakna Warisan mahu bertanding semua 222 kerusi Parlimen kerana mereka akan membentuk gabungan dan tidak akan bertanding di semua kawasan.

Atas sebab itu, beliau bekerjasama dengan Syed Saddiq selaku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk mengenal pasti anak-anak muda yang boleh menonjol.

“Sekiranya selepas pilihan raya MUDA sudah berdaftar maka, Syed Saddiq boleh meneruskan perjuangannya dalam MUDA, dia tidak perlu terikat untuk berada dalam Warisan, jangan risau tentang itu,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *