‘Semangat Kental, Kita Akan Tumbangkan BN’ – Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengingatkan ahli Warisan agar teruskan perjuangan dalam politik dengan semangat yang kental.

Semangat perjuangan itu aka membolehkan Warisan berada di landasan yang betul untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekali lagi pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, jika ahli-ahli parti dapat menjaga Warisan dan perjuangan parti dengan baik, pilihan raya akan datang Warisan mampu menumbangkan BN.

Katanya, perwakilan parti perlu sentiasa meningkatkan dan perkuatkan iltizam untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Kita mahu melahirkan banyak generasi muda sebagai pelapis kepimpinan parti. Kita mahu melahirkan generasi muda menerusi kepimpinan kita.

“Oleh itu, Parti MUDA boleh menggunakan platform kami kerana dalam perjuangan tidak boleh bersendirian, mesti ada rakan dan gabungan.

“Mana mungkin kita boleh tumbangkan BN kalau hanya kita sendirian. Walau kita tidak banyak duit namun, kita akan terus berjuang untuk anak-anak Sabah.

“Namun, apabila kita laungkan Sabah untuk rakyat Sabah, tidak bererti negeri ini hak kita sahaja. Saya sayang orang Semenanjung, keluarga dan menantu saya juga dari Semenanjung dan Sarawak.

“Apa yang kita laungkan itu hak kita kerana itu perjanjian yang harus ditunaikan. Perjanjian (MA63) untuk tunaikan hak Sabah,” katanya semasa merasmikan Persidangan Agung Tahunan Warisan di Dewan Hakka hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna ini kecewa apabila orang Sabah berpecah kepada UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hingga menyebabkan negeri ini miskin biarpun kaya dengan sumber asli. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *