Jambatan Kekal Hubungkan Tambunan-Keningau Akan Dibina

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup ketika melakukan lawatan ke lokasi runtuhan Jalan Persekutuan di Kampung Liau Apin Apin, Keningau hari ini.

KENINGAU, 12 Dis : Sebuah jambatan kekal akan dibina di jalan menghubungkan Tambunan-Keningau berdekatan Kampung Liau Laut, dekat sini, dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kos pembinaan masih dalam kajian dan usaha membina jambatan kekal yang boleh menampung hingga 60 tan itu adalah langkah jangka panjang bagi memastikan kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut tidak berulang sekali gus memudahkan pergerakan penduduk ke daerah berhampiran.

Arthur berkata jalan menghubungkan Tambunan-Keningau di kampung itu sudah dua kali runtuh susulan hujan lebat pada September dan November lepas, namun sebuah jambatan bailey telah dibina buat sementara waktu sebagai laluan alternatif penduduk untuk ke kawasan terbabit.

“Jambatan bailey ini hanya langkah sementara kerana walaupun boleh dibina dalam masa singkat tetapi ia hanya satu lorong dan had muatan hanya lapan tan sahaja. Justeru, kita akan mencari peruntukan secara Arahan Kerja yang dikhaskan untuk kerja-kerja bencana bagi membina jambatan kekal.

“Sekiranya semua berjalan dengan baik, kita menjangkakan kerja membina jambatan baru boleh dimulakan dalam masa tiga bulan dan setelah itu dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan. Diharap ini akan dapat menyelesaikan masalah tanah runtuh atau jalan terputus di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau jalan runtuh di kawasan tersebut hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Ali Ahmad Hamid.

Sementara itu, Arthur berkata Kementerian Kerja Raya telah mewujudkan jawatankuasa yang akan bertanggungjawab untuk memantau semua jalan-jalan Persekutuan di negeri ini serta keadaan cerun terutama ketika musim tengkujuh.

Beliau berkata kementerian itu juga mempunyai pasukan tindak balas pantas yang akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat konsesi untuk memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan sekiranya terdapat kejadian seperti tanah runtuh.

“Selain itu, kita juga menyediakan peruntukan bagi membuat kajian cerun khususnya di Sabah melibatkan jalan-jalan Persekutuan untuk memastikan struktur cerun di sepanjang jalan akan berada dalam keadaan baik sekali gus mengurangkan risiko tanah runtuh di masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *