Kumpulan Sawit Kinabalu Untung RM320 Juta Tahun Ini, Kata Hajiji

Hajiji (tengah) yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu menerima buku cenderamata daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie sebagai gimik pelancaran sempena majlis sambutan ulang tahun Kumpulan Sawit Kinabalu ke-25 di SICC, hari ini. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah berjaya mencatat keuntungan lebih RM320 juta pada tahun ini.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, jumlah berkenaan adalah keuntungan sebelum cukai yang tertinggi dalam sejarah syarikat terbabit.

Katanya, pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu itu amat membanggakan khususnya ketika penularan pandemik Covid-19 yang sudah menjejaskan banyak sektor ekonomi di seluruh negara.

“Kerajaan negeri turut berbangga dengan pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu yang kini berusia 25 tahun dan sentiasa menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Kumpulan Sawit Kinabalu bukan saja ini telah menunjukkan prestasi yang baik dalam sektor perniagaan malahan dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dan telah menyantuni segenap lapisan masyarakat di hampir seluruh Sabah melalui pelbagai saluran bantuan terutamanya dari segi bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun ke-25 Kumpulan Sawit Kinabalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata usaha Kumpulan Sawit Kinabalu yang sudah mula melebarkan sayapnya dalam mempelbagaikan kegiatan perniagaan seperti pembangunan hartanah, penternakan lembu, pedaging dan burung walit juga dilihat sebagai satu inisiatif yang amat baik.

“Tindakan berkenaan juga bagi memastikan Kumpulan Sawit Kinabalu terus relevan sebagai sebuah jentera pelaburan kerajaan negeri sejajar dengan agenda pembangunan hala tuju kerajaan negeri.

“Saya juga dimaklumkan walapun berdepan cabaran pandemik, tetapi ini telah membuka peluang ekonomi yang amat cerah dengan harga pasaran minyak sawit mentah (CPO) yang telah mencecah paras harga tertinggi iaitu lebih RM5,000 satu tan pada tahun ini merupakan satu sejarah dalam buku industri sawit,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *