Tidak Perlu MoU Di Sabah, Jangan Terlalu Ikut Politik Semenanjung – Warisan

KOTA KINABALU: Pemimpin politik Sabah disaran agar memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah dan mengenepikan kemahuan ahli-ahli politik di Semenanjung Malaysia.

Langkah ini bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah dapat diperjuangkan secara lebih tegas.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, Warisan tidak melihat keperluan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri.

Seperti diperkatakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee baru-baru ini bahawa sebarang perjanjian antara GRS dan parti pembangkang tidak bermakna tanpa penyertaan Warisan.

Pada dasarnya, Warisan setuju dengan apa yang dikatakan Teck Lee.

“Apa yang menghairankan adalah kenapa Pakatan Harapan (PH) rasa perlu ada kerjasama bipartisan dengan kerajaan GRS sedangkan perkara itu sudah dimeterai melalui MoU bersama kerajaan persekutuan.

“Ahli-ahli GRS juga terdiri daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS yang terpaksa patuh kepada kemahuan pemimpin mereka di peringkat persekutuan.

“Jika dilihat tiada negeri lain di Malaysia yang menandatangani MoU sedemikian dengan PH.

“Perlu diingat senario politik di Sabah tidak sama dengan Semenanjung Malaysia. Masalah dan isu yang membelenggu rakyat Malaysia di Sabah berlainan dengan apa yang berlaku di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, sebagai pemimpin politik di Sabah, semua pemimpin harus memberi keutamaan kepada kepentingan Sabah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *