PH Sabah Sedia Kerjasama Jayakan Agenda Pembaharuan, Tadbir Urus Negeri

Pengarah Komunikasi PH Sabah Ewon Benedick berkata, majlis pimpinan PH negeri dalam mesyuarat baru-baru ini bersetuju mengangkat tujuh agenda reformasi dan tadbir urus Sabah.

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menjayakan agenda pembaharuan dan tadbir urus Sabah, kata Pengarah Komunikasinya, Ewon Benedick.

Ewon berkata, ini termasuk perkara berkaitan autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta tadbir urus menangani pandemik Covid-19.

“Majlis pimpinan PH Sabah dalam mesyuarat baru-baru ini bersetuju untuk mengangkat tujuh agenda reformasi dan tadbir urus Sabah.

“Antaranya termasuk Perjanjian Malaysia 1963 dan tadbir urus menangani pandemik Covid-19.

“Selain itu, antara perkara lain ialah pelan kebangkitan ekonomi Sabah, reformasi pentadbiran, reformasi Dewan Undangan Negeri, tadbir urus Orang Asal Sabah dan tadbir urus keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Ewon berkata, Majlis Pimpinan PH Sabah juga telah memaklum dan membincangkan agenda reformasi dan tadbir urus berkenaan dengan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Shafie Apdal melalui perjumpaan dengan beliau baru-baru ini.

Katanya, perkara itu kemudian akan dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

“PH Sabah ingin menegaskan bahawa agenda reformasi dan tadbir urus ini bukanlah memorandum persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani seperti diuar-uarkan oleh pihak tertentu.

“Sebaliknya, ia tuntutan rakyat yang perlu diperjuangkan bersama dan dilaksanakan secara rentas politik.

“PH Sabah sebagai gabungan parti-parti politik berorientasikan polisi akan terus komited mengangkat pelaksanaan agenda reform dan tadbir urus seperti ini dan turut mengajak semua penggubal undang-undang di peringkat DUN serta rakyat Sabah dalam menjayakan agenda-agenda ini,” katanya.

Beliau berkata, tadbir urus berkenaan Covid-19 serta autonomi Sabah bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi sepatutnya menjadi tanggungjawab semua.

Katanya, PH Sabah sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan semua parti politik yang diwakili di DUN untuk menjayakan agenda “reform” tersebut.

“Kesediaan bekerjasama ini tidak akan menjejaskan sama sekali peranan PH Sabah dalam melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang yang berkesan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *