Lee Chong Wei Dilantik Duta Pelancongan Sabah

KOTA KINABALU: Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dilantik sebagai Duta Pelancongan Sabah.

Ikon sukan yang terkenal di peringkat dunia ini membuatkan kerajaan Sabah mengambil inisiatif melantik Chong Wei sebagai duta bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Sabah.

Lantikan ini juga selaras dengan usaha memulihkan semula industri pelancongan negeri yang begitu terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelantikan ikon sukan ini akan mempergiatkan lagi aktiviti mempromosikan Sabah kepada pelancong luar kerana legenda badminton negara ini mempunyai hubungan baik dengan bekas rakan-rakan pemain badminton seluruh dunia.

Jika dilihat, Chong Wei juga masih aktif bersukan dengan melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal dan ini sekaligus membolehkan beliau membantu mempromosikan destinasi pelancongan luar bandar yang terdapat di Sabah.

Pada peringkat ini, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menyusun aktiviti promosi yang akan dilakukan Chong Wei dan menerusi aktiviti-aktiviti itu, Chong Wei akan berkongsi maklumat terperinci mengenai kawasan yang dilawati semasa berada di Sabah.

“Sebagai ikon yang mempunyai ramai peminat dan hubungan baik dengan pemain badminton di seluruh dunia, kita percaya pelantikan ini akan membantu usaha mempromosikan pelancongan Sabah yang begitu terjejas semasa pandemik Covid-19.

“Disamping itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk menubuhkan Akademi Datuk Lee Chong Wei di Sabah, Namun, perkara ini masih diteliti,” katanya semasa majlis penyampaian sijil lantikan duta pelancongan Sabah, di sini hari ini.

Jafry berkata, penubuhan akademi itu pastinya akan membantu mencungkil bakat anak-anak muda Sabah dalam sukan badminton disamping memperlihatkan potensi Sabah untuk dijadikan pusat latihan kepada pemain badminton luar negara.

Itu antara perbincangan bersama Chong Wei semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kelmarin.

Chong Wei dilantik sebagai duta pelancongan Sabah bagi tempoh Oktober 2021 hingga Disember 2022.

Sementara itu, Chong Wei berkata, lantikan sebagai duta pelancongan itu adalah satu penghormatan kepadanya dan beliau akan berusaha membantu membawa lebih ramai pelancong  datang ke Sabah melalui promosi yang dilakukan bersama STB.

“Saya berharap dapat membawa isteriSayberkunanak saya berkunjung ke destinasi menarik yang ada di negeri ini.

“Saya akan cuba berkongsi lebih banyak maklumat mengenai destinasi pelancongan Sabah kepada semua peminat dan kawan-kawan saya menerusi media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei berkata, beliau gembira dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik semula Rexy Mainaky sebagai timbalan pengarah kejurulatihan BAM.

Chong Wei tiba di Sabah sejak Isnin bagi menerima darjah kebesaran sempena ulang tahun rasmi Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang ke-68 yang diadakan dalam satu majlis tertutup kelmarin.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *