Shafie Apdal Nafi Benarkan ADUN Sindumin Keluar Warisan

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU : Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan beliau membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob untuk keluar daripada parti itu.

Malah, Mohd Shafie berkata beliau tidak pernah memberi “restu” kepada mana-mana wakil rakyat atau ahli parti untuk meninggalkan Warisan, dan parti itu melihat tindakan Yusof sebagai keputusan peribadinya.

Beliau berkata Yusof hanya memaklumkan tentang hasrat untuk keluar parti secara lisan, namun sehingga kini Warisan tidak menerima sebarang surat mengenai tindakan ADUN Sindumin itu.

“Tiada presiden parti meredakan ahli Yang Berhormatnya keluar daripada parti dia…kalau ada (wakil rakyat keluar Warisan) kita bawa untuk tindakan undang-undang, kita heret ke mahkamah, ini kita lakukan supaya perjuangan kita bukan bermusim.

Masa jadi pembangkang ahli parti kita bertungkus lumus untuk jayakan kita, bukan sahaja bantu rakyat tetapi jadikan kita Yang Berhormat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin parti itu di Kolombong di sini hari ini.

Semalam, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan ketika mengumumkan keluar parti mendakwa beliau telah berbincang serta menyatakan hasrat keluar parti dengan Mohd Shafie dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya negeri itu,  kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

Mohd Shafie turut menafikan dakwaan Yusof bahawa terdapat ADUN Warisan lain akan bertindak keluar parti.

“Beliau juga tidak wajar menggunakan alasan keputusan ini (keluar parti) dibuat demi meneruskan khidmat  kepada rakyat setempat…walaupun kita tidak jadi kerajaan kita juga boleh berkhidmat, kita boleh beri pendapat, pandangan walaupun mungkin bantuan kita terbatas,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *