Penduduk Sabah Mahu Rentas Negeri Dengan SOP Lebih Ketat

KUALA LUMPUR : Ramai yang teruja menanti pengumuman kebenaran merentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seiring dengan berita baik itu, rakyat Sabah berharap prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Orang ramai, peniaga dan pengusaha pelancongan di Sabah mahu SOP yang lebih tegas memandangkan kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah. 

Albert Linus, 61, seorang pengusaha kedai makanan laut di kawasan tarikan pelancongan di Gayang, Tuaran berkata beliau lega kerana kebenaran rentas negeri membolehkan ramai pelancong datang ke Sabah seterusnya memulihkan sektor pelancongan negeri. 

“Kita gembira bila boleh rentas negeri tetapi apa gunanya dua atau tiga bulan selepas itu kes COVID-19 meningkat dan kemudian terpaksa tutup (sempadan negeri) kembali, kalau boleh kita mahu negeri terus dibuka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 1,178,726 atau 64.1 peratus daripada populasi dewasa di Sabah telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 setakat 11.59 malam semalam (8 Okt). 

Sementara itu, seorang pemandu bas, Mohd Fakhruddin Abd Zaman, 44, berkata syarikatnya telah melakukan persediaan bagi memberi perkhidmatan yang mematuhi SOP untuk pelancong, namun berharap kebenaran seharusnya diberikan apabila situasi COVID-19 benar-benar selamat. 

“Kita suka apabila pelancongan semakin baik, pekerja dapat gaji, perniagaan syarikat semakin baik, tetapi kita tidak boleh pentingkan diri dalam hal ini, pastikan betul-betul baik baru kita beri kebenaran dan tentukan SOP yang lebih ketat,” katanya yang tinggal di Petagas, Kota Kinabalu. 

Alicia Su-Ann, 29, seorang tutor di sebuah universiti di Kota Kinabalu menyarankan supaya rentas negeri ke Sabah ditangguhkan kerana melihat situasi COVID-19 yang belum reda di negeri lain dan kadar vaksinasi agak rendah di negeri itu. 

“Pada masa ini di Sabah belum boleh rentas daerah secara penuh, kita boleh rentas daerah ikut zon dan mana-mana daerah vaksinasi bawah 60 peratus masih tidak boleh rentas,” katanya yang tinggal di Donggongan, Penampang. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan negeri akan membuat pertimbangan dan kajian sewajarnya sebelum membenarkan rentas negeri ke Sabah bagi mengelak penularan COVID-19.

“Pada masa ini kita sedang tingkatkan vaksinasi dan apabila tahap vaksinasi pada tahap munasabah, kita akan pertimbangkan (rentas negeri) sebaiknya,” kata jurucakap COVID-19 Sabah itu.

Pada 22 Sept lepas, perdana menteri berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

Sementara itu, Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak sudah bersedia untuk memulakan perkhidmatan membawa pelancong ke destinasi-destinasi pelancongan di negeri itu.

Setiausaha persatuan William Chan berkata syarikat-syarikat di bawah persatuan telah membuat persiapan sejak kerajaan negeri membenarkan aktiviti rentas daerah mulai 6 Okt lepas.

“Semua pemandu bas dan kakitangan barisan hadapan termasuk petugas kaunter dan konduktor telah melengkapkan vaksinasi selain setiap bas disanitasi setiap hari sebelum dan selepas operasi.

“Penumpang juga diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka serta menjaga jarak fizikal, jika gagal mereka tidak dibenarkan menaiki bas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *