Wakil Rakyat Bebas Sokong GRS Perlu Main Peranan Bangunkan Sabah – Bung

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KINABATANGAN, 8 Okt : Semua wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan negeri Sabah dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memainkan peranan membangunkan negeri itu dan menjaga rakyatnya, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Pengerusi I GRS itu berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yaakob yang bertindak keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) serta menyokong GRS pagi tadi tidak terkecuali, dan beliau berharap Yusof dapat membantu kerajaan negeri memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat.

“GRS mengalukan wakil rakyat berkenaan untuk bersama dengan kerajaan negeri demi manfaat rakyat. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada YB (Yang Berhormat) berkenaan yang memilih untuk menjadi wakil bebas.

“Mudah-mudahan mereka boleh memainkan peranan yang lebih aktif dan efisien untuk membangunkan rakyat dan juga memberi input yang baik kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah Sabah Electricity Sdn Bhd di sini hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata sekiranya terdapat bekas wakil rakyat pembangkang yang ingin menyertai UMNO, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mereka yang mempunyai keikhlasan untuk menjadi ahli.

Beliau juga berpendapat tindakan beberapa wakil rakyat daripada Warisan untuk meninggalkan parti itu adalah mungkin akibat tidak puas hati terhadap beberapa isu dalaman parti antaranya tindakan  mengembangkan sayapnya ke Semenanjung.

Terdahulu Yusof juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan keluar parti dan menyokong kerajaan negeri ditadbir GRS kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN kini hanya memiliki 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *