ADUN Sindumin Maklum Secara Lisan Akan Hantar Surat Keluar Parti – Speaker DUN Sabah

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya

KOTA KINABALU, 8 Okt : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya hari ini berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob telah memaklumkan secara lisan kepada pihaknya untuk menyerahkan surat makluman keluar Parti Warisan Sabah (Warisan)

“Beliau (Yusof) sudah memaklumkan secara lisan yang beliau akan menghantar surat makluman keluar parti. Mungkin petang ini dihantar ke pejabat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Terdahulu, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan keluar parti itu untuk menjadi ADUN Bebas dan menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana mahu membantu rakyat selain membawa pembangunan di kawasan Sindumin dan Sipitang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini hanya memiliki 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir meninggalkan parti itu pada Februari lepas.

Pilihan raya kecil DUN Bugaya masih belum diadakan berikutan perintah darurat yang dilaksanakan bagi kawasan itu ekoran pandemik COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *