Selepas ADUN Sindumin, Satu Lagi Ketua Bahagian Warisan Umum Keluar Parti

Ketua Warisan Bahagian Tawau, Abdul Salip Ejal berkata, keputusan meninggalkan Warisan dibuat atas kerelaan sendiri, tanpa paksaan pihak lain.

TAWAU: Ketua Warisan Bahagian Tawau, Abdul Salip Ejal hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bagi memperjuangkan rakyat bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Yusof Yacob yang meninggalkan Warisan untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pagi tadi.

“Selaras dengan pengumuman ini, saya bersama sembilan ahli jawatankuasa bahagian sepakat untuk berada di blok bebas bersama Yusof. Keputusan ini dibuat atas kerelaan kami tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

“Saya ingin berterima kasih dan menyanjung tinggi kepercayaan seluruh pimpinan Warisan, khususnya Presiden (Shafie Apdal) yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mengemudi bahagian ini sejak dua tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Yusof juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan keluar parti untuk menjadi ADUN bebas dan menyokong kerajaan negeri ditadbir GRS kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

Pada pilihan raya umum 2018, Yusof memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri Sabah tahun lalu dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *