Cuma Halangan Kecil, Perjuangan Tetap Diteruskan, Kata Warisan

(Dari kiri) Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, mereka tidak terkesan dengan tindakan Yusof Yacob meninggalkan parti itu, manakala Setiausaha Agungnya, Loretto Padua Jr berkata, mereka akan memutuskan sama ada mahu menyaman ADUN itu.

KOTA KINABALU: Kehilangan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sesuatu yang membimbangkan parti itu.

Sebaliknya Naib Presiden Warisan, Junz Wong menyifatkan tindakan ADUN Sindumin merangkap Ketua Penerangan Warisan, Yusof Yacob keluar parti sekadar “halangan kecil”.

“Ia tidak mengubah apa-apa,” kata Wong kepada FMT.

“Perjuangan Warisan akan diteruskan, walaupun tanpa Yusof. Parti ini hanya bermula dengan dua Ahli Parlimen dan tiga ADUN.

“Halangan kecil ini tidak akan mengubah perancangan dan keazaman kami untuk menguasai kerajaan Sabah serta membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang – yang mungkin berlaku dalam beberapa bulan lagi, berdasarkan senario politik semasa.

“Kepada Yusof, saya ucapkan selamat berjaya.”

Wong yang juga ADUN Tanjung Aru berkata, parti itu kini memfokuskan persediaan untuk PRU15.

Yusof yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan menteri negeri di bawah pentadbiran Warisan hari ini mengumumkan keluar parti itu untuk menjadi ADUN Bebas.

Katanya, beliau akan menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di peringkat persekutuan serta kerajaan GRS yang diketuai Ketua Menteri, Hajiji Noor di peringkat negeri.

Yusof adalah ADUN Warisan yang kedua keluar parti itu tahun ini selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berbuat demikian pada 25 Feb lalu.

Memandangkan kerusi Bugaya yang sebelum ini dipegang parti itu dikosongkan susulan kematian ADUN Manis Muka, Warisan kini hanya memegang 20 daripada 73 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr berkata, parti itu akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan sama ada tindakan akan diambil terhadap Yusof supaya melepaskan kerusinya, seperti dilakukan ketika Hassan meninggalkan parti pada Februari.

“Buat masa ini, kami mengambil maklum peletakan jawatannya,” katanya.

Warisan memfailkan saman terhadap Hassan kerana gagal melepaskan kerusi DUN beliau selepas meninggalkan parti itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *