Warisan Sokong Shafie Tak Meterai MoU

Ketua Whip Warisan, Rozman Isli berkata, parti itu menyokong pendirian Presidennya, Shafie Apdal tidak memeterai MoU dengan kerajaan persekutuan sedia ada.

KOTA KINABALU: Seorang Ahli Parlimen Warisan berkata, parti itu kekal dengan pendirian Presidennya, Shafie Apdal tidak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan seperti dimeterai Pakatan Harapan Isnin lalu.

Ini selepas gesaan veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini untuk Warisan, PEJUANG dan MUDA menyokong serta menandatangani MoU sama dengan kerajaan.

Rozman Isli, Ketua Whip Warisan dan Ahli Parlimen Labuan, berkata beliau kekal dengan pendirian parti dan semua Ahli Parlimen patut menerima jumlah peruntukan sama, tidak kira mereka menandatangani MoU itu atau tidak.

“Kita semua adalah anggota cabang perundangan sistem Parlimen Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Tiba masanya untuk negara kita melangkah ke era baharu, yang lebih matang. Kebanyakan negara Komanwel dengan sistem ala Westminster sudah jauh ke hadapan dengan melakukan penambahbaikan terhadap amalan mereka.”

FMT sudah menghubungi PEJUANG dan MUDA untuk mendapatkan komen mereka.

Sebelum ini, dilaporkan dana sama akan diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bawah perjanjian antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan PH.

Tetapi, hanya Ahli Parlimen yang terbabit dalam perjanjian itu akan mendapat manfaat, menurut laporan Malaysiakini yang berkata dokumen itu menyatakan “satu peringatan penting adalah dana sama hanya tertakluk kepada Ahli Parlimen yang terbabit dalam perjanjian ini”.

Ini akan menyebabkan Ahli Parlimen daripada parti seperti PEJUANG, Warisan dan Parti Sarawak Bersatu, serta bebas tidak mendapat dana sama.

Rozman dalam respons terhadap perkara itu berkata, pembangkang mempunyai peranan sama penting seperti kerajaan, oleh itu mereka harus diberikan pengiktirafan sewajarnya.

“Layan pembangkang dengan hormat. Kerajaan PH turut melakukan kesilapan dengan tidak berbuat demikian ketika mereka menjadi kerajaan. Mereka hanya memperuntukkan RM100,000 setahun kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Bagi kami, peruntukan sama perlu menjadi sebahagian reformasi itu. Ia sebenarnya untuk rakyat,” kata Rozman merujuk reformasi dalam MoU PH dan kerajaan.

Bagaimanapun, Rozman berkata, Warisan secara dasarnya menyokong reformasi di bawah MoU itu, tetapi pada masa sama, parti berkenaan akan “terus bersuara dan menuntut kerajaan sentiasa melakukan perkara betul”.

“Kerajaan boleh dan patut membawa cadangan reformasi yang mereka umumkan baru-baru ini ke Parlimen, tetapi kami mahu lebih banyak butiran.”

Katanya, ketika membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat, beliau menyatakan tidak mahu pertukaran Perdana Menteri lagi dalam penggal ini.

Beliau berharap Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya akan memfokuskan usaha menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pilihan raya umum tidak lama dari sekarang. Sentiasa ada kecenderungan untuk parti pemerintah menyalahgunakan kuasanya, jadi tekanan daripada pembangkang diperlukan untuk kebaikan negara.

“Kami tidak berminat dengan pertukaran PM atau kerajaan lagi untuk penggal ini. Jadi, tidak kisah jika kami tidak menandatangani MoU itu.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *