Peruntukan RM9 Bilion Hanya Permulaan, Kata Pemimpin GRS

Ismail Sabri Yaakob menerima cenderahati daripada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor selepas mengumumkan peruntukan pembangunan di Kota Kinabalu semalam. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Lebih banyak berita baik untuk Sabah dan Sarawak akan menyusul selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan pembangunan berjumlah RM9 bilion malam tadi, kata pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Joniston Bangkuai, berkata pengumuman itu dibuat ketika sambutan Hari Malaysia di sini adalah penanda aras bahawa Ismail memahami keperluan Sabah dan Sarawak.

Bangkuai yang juga Ketua Penerangan GRS, percaya akan ada lebih banyak pengumuman baik yang akan menyusul.

“Pengumuman itu bukan hanya mencerminkan bahawa beliau (Ismail) memahami keperluan Sabah dan Sarawak, tetapi mengundang lebih banyak berita baik, terutama berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, kerajaan persekutuan memperuntukan sebanyak RM4.66 bilion dan RM4.47 bilion masing-masing kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, peruntukan itu akan diagihkan melalui dana pembangunan bawah Rancangan Malaysia Ke-12, yang akan dibentangkan di Parlimen akhir bulan ini.

Bangkuai berkata, Perdana Menteri juga memberikan jaminan bahawa beliau akan terus memberikan tumpuan terhadap kehendak dan hak rakyat Sabah dan Sarawak dalam isu berkaitan MA63.

Ia akan dilaksanakan Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri, tambah Bangkuai.

Majlis khas itu juga akan menyaksikan pembabitan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak bersama lapan menteri persekutuan, yang ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional terdahulu untuk mengkaji, meneliti dan mencari jalan penyelesaian terhadap tuntutan dan hak Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63.

“Isu mengenai MA63 bukanlah perkara baharu. Sebenarnya, ia merupakan perjuangan utama PBS sejak penubuhannya 36 tahun lalu. Malah Perdana Menteri mengakui bahawa isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia.

“Tetapi jaminan Perdana Menteri bahawa segala tuntutan bawah MA63 akan diteliti, dibincang dan diselesaikan menunjukkan kesungguhan beliau,” kata Bangkuai

Katanya, pemimpin Sabah dan Sarawak ingin jaminan tindakan untuk menggubal pindaan Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk status yang sama rata dan untuk mengkaji semula pemberian geran khas untuk kedua-dua negeri.

“Kami juga bersetuju dengan Ketua Menteri, Hajiji Noor mengenai pentingnya dalam memastikan isu MA63 yang belum diselesaikan dapat diberi perhatian serius,” katanya.

Mengenai peruntukan pembangunan, Bangkuai berkata Ismail menyedari keperluan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, terutama di kawasan luar bandar.

“Kami menghargai dana pembangunan yang diperuntukkan untuk Sabah, tetapi turut mengharapkan dana yang lebih banyak kerana Sabah dikategorikan sebagai salah satu negeri termiskin di Malaysia, walaupun terkenal dengan sumber kekayaannya.

“Kami berharap ia akan dapat merapatkan jurang pembangunan antara kedua wilayah dan semenanjung Malaysia,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *