Kerajaan GRS Tidak Bertindak Secukupnya Tangani Covid-19, Kata Shafie

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mendakwa katil tambahan kini ditempatkan di bilik pembedahan di Hospital Queen Elizabeth 1.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak menangani situasi Covid-19 secukupnya susulan peningkatan harian jangkitan Covid-19 di negeri itu, dakwa Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata, sistem perkhidmatan kesihatan di Sabah kini berada dalam keadaan genting, dengan ketiadaan katil mencukupi selain kekurangan fasiliti untuk merawat pesakit.

“Saya dimaklumkan individu berusia 60 tahun ke atas mendapat akses terhad mesin ventilator untuk digunakan ke atas pesakit lebih muda kerana faktor kadar mereka hidup lebih tinggi,” kata bekas ketua menteri Sabah itu dalam kenyataan.

“Pastinya, kerajaan mempunyai kemampuan membeli lebih banyak ventilator bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau mendapat maklumat katil tambahan ditempatkan di bilik pembedahan di Hospital Queen Elizabeth 1, namun masih terdapat senarai panjang pesakit menunggu.

“Pesakit kritikal diberikan oksigen di katil yang ditempatkan di bahagian terowong hospital sementara mereka menunggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Shafie berkata, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini berulang kali mendakwa situasi adalah terkawal, tetapi mengakui negeri ini berdepan kekurangan vaksin.

“Dalam pada itu, lebih ramai rakyat mendapat jangkitan Covid-19 dalam kadar pantas. Lebih memburukkan, kanak-kanak termasuk bayi juga tergolong dalam statistik berkenaan,” katanya.

Sebagai kerajaan memerintah hari ini, beliau berkata, kelihatan tiada usaha dilaksanakan GRS bagi mencari penyelesaian untuk memperoleh lebih banyak bekalan vaksin.

“Tiada sepatah kata atau rungutan daripada pihak mereka terhadap kerajaan persekutuan untuk mempercepat penghantaran vaksin ke negeri ini.

“Sudah lebih 15 bulan sejak wabak melanda di Sabah dan sejak itu kadar jangkitan melonjak.

“Sabah berada di tangga kedua jangkitan kes positif Covid-19 tertinggi di negara ini, selain berada pada kedudukan terakhir membabitkan jumlah penduduk divaksin,” katanya.

Semalam, jangkitan harian di Sabah mencapai rekod tertinggi 3,487 kes, selain menunjukkan lebih sebulan lalu, kadar purata jangkitan mingguan di negeri ini meningkat ketara kepada 266%.

Shafie menggambarkan situasi semasa sebagai “membimbangkan dan menakutkan”.

Beliau menggesa kerajaan negeri menubuhkan lebih banyak pusat rawatan dan mencadangkan kem tentera Lok Kawi dan pangkalan tentera laut Sepanggar sebagai lokasi berpotensi.

Sehingga semalam, Sabah merekodkan keseluruhan jangkitan 134,517 kes, dengan 34,517 kes masih aktif. Keseluruhannya, 174 pesakit kini dirawat di ICU dengan 78 daripadanya menerima bantuan pernafasan.

Bagi tempoh sama, sejumlah 1,001 kes kematian dengan 26 kematian berlaku semalam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *