7 Pemimpin Muda Dilantik Sertai Kabinet Pentadbiran Ismail Sabri

Daripada senarai Jemaah Menteri yang diumumkan, terdapat tujuh daripada mereka yang berusia di bawah 45 tahun.

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh pemimpin muda dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam jemaah Kabinet pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia merupakan 10.1 peratus dari jumlah keseluruhan Menteri dan Timbalan Menteri yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat.

Daripada senarai Jemaah Menteri yang diumumkan, terdapat tujuh daripada mereka yang berusia di bawah 45 tahun.

Antara yang tersenarai adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menerajui Kementerian Kesihatan .

Khairy ditukarkan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ke Kementerian Kesihatan.

Seorang Ahli Parlimen muda yang diserap ke Kabinet ialah Yamani Hafez Musa sebagai Timbalan Menteri Kewangan 2.

Perdana Menteri meletakkan syarat supaya Kabinetnya membuktikan pencapaian kementerian masing-masing dalam masa 100 hari pertama menggalas tanggungjawab.

Dalam pengumuman Kabinetnya hari ini, Ismail Sabri berkata, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang dalam untuk mencapai objektif yang disasarkan.

“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” kata beliau.

Mengakui bahawa negara memerlukan pemulihan ekonomi, Perdana Menteri berkata, barisan Kabinetnya perlulah berlandaskan tiga prinsip.

Prinsip-prinsip itu ialah peka dengan keperluan semasa yang kian mencabar, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia diadakan pada 30 Ogos, jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Berikut ahli politik muda yang tersenarai dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob:

1. Khairy Jamaluddin

MENTERI KESIHATAN

(45 tahun – 10 Januari 1976)

Ahli Parlimen Rembau (UMNO/Barisan Nasional)

2. Datuk Mohd Radzi Jidin

MENTERI PENDIDIKAN

(43 tahun – 4 September 1977)

Ahli Dewan Negara (BERSATU/Perikatan Nasional)

3. Mohd Shahar Abdullah

TIMBALAN MENTERI KEWANGAN 1

(41 tahun – 7 Disember 1980)

Ahli Parlimen Paya Besar (UMNO/Barisan Nasional)

4. Yamani Hafez Musa

TIMBALAN KEWANGAN 2

(42 tahun – 29 September 1979)

Ahli Parlimen Sipitang (BERSATU/Perikatan Nasional)

5. Datuk Arthur Joseph Kurup

TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA

(39 tahun – 4 Ogos 1982)

Ahli Parlimen Pensiangan (PBRS/Barisan Nasional)

6. Mas Ermieyati Samsudin

TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

(PARLIMEN DAN UNDANG-UNDANG)

(44 tahun – 13 November 1976)

Ahli Parlimen Masjid Tanah (BERSATU/ Perikatan Nasional)

7. Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

TIMBALAN MENTERI PERPADUAN

(34 Tahun 8 Mei 1987)

Ahli Dewan Negara (BERSATU/Perikatan Nasional)

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *