‘Kami Sokong Anwar PM Jika Beliau Ada ‘Angka Ajaib’, Kata Warisan

Antara Anwar Ibrahim atau Shafie Apdal sebagai perdana menteri, kata pemimpin Warisan Azis Jamman.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman berkata, Warisan akan menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika beliau mampu meraih sokongan minimum 111 Ahli Parlimen.

“Warisan akan menyokong DSAI (Anwar) menjadi PM jika beliau melepasi ‘angka ajaib’ dan berharap Pakatan Harapan juga memberi hak penolakan pertama kepada Shafie Apdal (presiden Warisan) jika DSAI tidak melepasi angka ajaib,” katanya.

Aziz berkata demikian menjawab soalan warganet di Twitter, sambil memaklumkan “minimum 111 daripada 220 Ahli Parlimen. Sehingga hari ini, pembangkang mempunyai 105 Ahli Parlimen, jadi kita kekurangan 7 lagi Ahli Parlimen”.

Berbalik kepada soalan seterusnya mengenai bagaimana timbulnya hak penolakan pertama jika hanya seorang calon dibenar dinamakan dalam akuan berkanun (SD), Azis berkata, Shafie dan Anwar perlu bertemu dulu bagi membincangkan perkara itu.

“Dua pemimpin perlu bersemuka dan mendedahkan perancangan masing-masing sebelum menghantar nama ke Istana.

“Sesiapa yang mendapat sokongan tertinggi perlu diberi peluang menulis nama dalam SD…atau anda mempunyai idea lain,” katanya.

Awal hari ini, sumber memaklumkan FMT, ada kemungkinan pelantikan perdana menteri interim, namun tanpa pembentukan Kabinet, bagi menyelesaikan kemelut politik. Ini susulan tiada parti atau Ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti.

Sumber berkata, ada dua kumpulan dalam perlumbaan pelantikan perdana menteri selepas peletakan jawatan Muhyiddin Yassin, iaitu satu kumpulan diterajui Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan kumpulan kedua daripada blok pembangkang.

Sumber berkata, sebahagian besar Ahli Parlimen Bersatu menyokong Ismail, dengan kesepakatan sama seperti pentadbiran kerajaan terdahulu.

Bagi pembangkang pula, sumber berkata calon utama adalah Anwar dan Shafie.

“Pembangkang mempunyai sokongan 105 Ahli Parlimen. Saya dimaklumkan sesiapa daripada Anwar dan Shafie melepasi angka (sokongan 111 Ahli Parlimen) akan dinamakan sebagai calon PM,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *