Sabah Sambut Baik Sumbangan RM4.2 Juta AS Untuk Hidupan Liar

Ketua Menteri Hajiji Noor mengadakan pertemuan maya dengan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D Mcfeeters semalam. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor menyambut baik janji Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia untuk memberi sumbangan USD1 juta (RM4.2 juta) kepada usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah bagi melengkapkan program perlindungan hidupan liar negeri itu.

Katanya, sumbangan itu dijanjikan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D Mcfeeters, ketika mereka berhubung secara maya semalam.

“Selain itu, Mcfeeters turut menawarkan kerjasama dalam konservasi hutan yang merujuk kepada program Heart of Borneo (HoB), iaitu inisiatif konservasi rentas sempadan secara meluas hingga ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, dalam pertemuan secara maya itu juga, mereka menyentuh pelbagai isu lain termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemerdagangan manusia, pendatang tanpa izin dan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangani keganasan.

“Mcfeeters yang memegang jawatan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia pada Februari tahun ini berkata, dia tidak sabar untuk berkunjung ke Sabah, iaitu destinasi pelancongan yang terkenal dalam kalangan rakyat negaranya kerana tarikan alam semula jadi dan Gunung Kinabalu,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, kerajaan negeri dan AS sentiasa menjaga hubungan dua hala yang baik dan mesra.

Katanya, di peringkat antara negara pula, Malaysia dan AS juga sudah menjalin hubungan dua hala sejak 1957.

“AS kekal sebagai rakan dagang terbesar di negara ini dan Malaysia adalah salah satu sekutu lama serta terdekat negara itu dalam kerjasama membabitkan bidang ketenteraan, pelaburan, ekonomi dan pendidikan.

“Terbaru dalam kerjasama dua hala itu, AS telah menyumbang sebanyak satu juta dos vaksin kepada Malaysia dan menjanjikan tambahan bantuan Covid-19 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *