Pembangkang Perlu Rebut Peluang Kerjasama Rentas Politik Demi Negara – Ongkili

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

KOTA KINABALU: Pihak pembangkang perlu merebut peluang kerjasama rentas politik bagi mendahulukan keperluan negara dan mengutamakan kestabilan ekonomi serta politik.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata semua pihak perlu bersama-sama membawa negara ini maju ke hadapan sebagai tanda komitmen solidariti.

Jelasnya, melihat kepada keadaan politik negara ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama dan mengenepikan perbezaan fahaman politik, sesuai dengan slogan ‘rakyat didahulukan’.

“Tanggungjawab yang lebih penting kini adalah membendung penularan COVID-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini bukan masanya untuk bertengkar soal siapa yang patut menjadi Perdana Menteri. Kita boleh menyelesaikan masalah itu melalui pilihan raya umum dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

“Rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak kerajaan, dan bukannya pergi mengundi, terutamanya ketika pandemik COVID-19 masih ditahap yang membimbangkan,” katanya.

Maximus berkata ketujuh-tujuh cadangan kerjasama yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, demi kestabilan negara, harus dipertimbangkan secara positif oleh semua pihak.

“Ini adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara,” katanya lagi. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *