WARISAN, PSB, UPKO, Syed Saddiq Tolak Tawaran PN

Presiden Parti WARISAN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apda

KOTA KINABALU: Empat parti pembangkang secara bersama menolak tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan kerjasama rentas parti dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam kenyataan bersama hari ini, sebaliknya mendesak Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri dengan cara terhormat.

“Sejak tahun lepas lagi, parti pembangkang sudah membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan.

“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan dan kebajikan rakyat.

“Namun, Tan Sri dengan sombong menolak segala tawaran pembangkang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan mewakili Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Baru Bian daripada PSB.

Ini termasuk tujuh ahli Parlimen WARISAN, iaitu Datuk Ignatius Darell Leiking, Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Mohd Azis Jamman, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy, Ma’mun Sulaiman, Ahmad Hassan dan Datuk Rozman Isli serta ahli Parlimen PSB, Datuk Masir Kujat.

Mengikut kenyataan itu, mereka menegaskan sekali lagi bukan tanggungjawab Muhyiddin untuk memastikan kewujudan sokongan majoriti pada mana-mana Ahli Parlimen, sebelum meletakkan jawatan.

“Kami mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan dengan cara terhormat dan membenarkan proses demokrasi berjalan semula,” kata kenyataan itu.

Mereka berkata, cadangan reformasi yang dibentangkan oleh Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen, namun perlu dilakukan oleh Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *