‘Saya Ada Masalah Kepercayaan Terhadap Presiden UMNO’ – KJ

Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada Presiden Umno untuk menggunakan namanya ketika Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Agong yang memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mendedahkan beliau ‘ada masalah kepercayaan’ terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pada Oktober tahun lalu, Zahid mengutuskan satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong atas nama Presiden Umno yang memberikan sokongan kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Sedangkan saya tidak pernah dirujuk, ditanya oleh presiden, jauh sekali saya memberi kebenaran kepada presiden untuk menggunakan nama saya.

“Macam mana saya nak percaya presiden macam ni?,” katanya selepas mengadakan lawatan di Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, sehingga hari ini beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai menteri yang diamanahkan.

Beliau berkata, isu kepercayaan sekali lagi timbul apabila muncul rakaman perbualan Zahid dengan Anwar.

“Perkara itu dinafikan dia (Zahid) kata nak buat laporan polis, tetapi selepas itu mengaku yang rakaman itu tulen. Bagaimana saya hendak percaya presiden macam ni?

“Yang mengatakan keputusan baru-baru ini dicapai secara sebulat suara dalam Majlis Kerja Tertinggi sedangkan ada Ahli Parlimen yang terdiri daripada Majlis Kerja Tertinggi ada yang buat keputusan berbeza,” kata Khairy.

Katanya, dia dan beberapa lagi Ahli Parlimen Umno akan membuat pendirian pada sidang Parlimen pada September ini.

“Saya orang parti (Umno) dan saya merayu kepada parti sehingga September undian akan menentukan keabsahan dan saya masih dengan Umno, setia dengan Umno, biarlah saya kerja vaksinasi ini.

“Bagi pihak Umno juga, saya menteri Umno. Selesai undi (menentukan keabsahan) nanti kita boleh buat keputusan apa seterusnya,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *