Kes Baharu Covid-19 Di Sabah Melonjak Kepada 1,379

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi hari ini dengan 1,379 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peningkatan ini disumbangkan oleh pengesanan bagi kluster Gambaron 2 di Telupid dengan 68 kes baharu dan kluster Pauh di Kinabatangan dengan 60 kes.

Beliau berkata, Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan kes yang tinggi iaitu dari 241 kes semalam kepada 351 kes positif hari ini.

Hari ini, Tuaran mencatatkan sebanyak 152 kes, Tawau 160 kes, Penampang 113 kes, Putatan 64 kes, Telupid 72 kes (68 kes daripada kluster Gambaron 2) dan Kinabatangan 61 kes (60 daripada kluster Pauh).

Selain daripada kes-kes daripada kluster sedia ada, peningkatan kes yang berlaku di kawasan bandar disebabkan jangkitan di tempat kerja dan semasa interaksi sosial.

Untuk itu, beliau menyarankan rakyat di negeri ini untuk sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) khususnya penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan-kegiatan sosial.

“Saringan kontak rapat menyumbang kes positif yang tinggi hari ini iaitu 752 kes atau 54.5 peratus, saringan bergejala 265, saringan kluster sedia ada 172 kes, saringan bersasar 99 kes dan lain-lain 91 kes.

“Terdapat juga 17 kes yang melibatkan orang kena tahan (OKT) samada di penjara atau pusat tahanan sementara (PTS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata, daripada 1,379 kes hari ini, sebanyak 1,277 kes positif berada dalam kategori satu dan dua, dua orang dalam kategori tiga, tiga orang dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima iaitu memerlukan rawatan rapi (ICU) manakala, 95 kes lagi masih dalam siasatan untuk menentukan pengkategorian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *