Buktikan Kerajaan Gagal, Shahidan Cabar Pembangkang

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim berkata, kempen vaksinasi kerajaan berjaya dilaksanakan, tetapi Shafie Apdal berpandangan sebaliknya.

KUALA LUMPUR: Shahidan Kassim (BN-Arau) tampil mempertahankan kerajaan dengan bertanya kepada pembangkang apakah yang dimaksudkan “kerajaan gagal” sedangkan kempen vaksinasi berjaya dilaksanakan.

Katanya, lebih 17,000 kes Covid-19 dilaporkan semalam, tetapi kadar vaksinasi turut meningkat kepada lebih 400,000 orang mendapat suntikan mereka setiap hari sejak beberapa hari lalu.

“Kami juga bekerja keras untuk mengagihkan bakul makanan kepada rakyat.

“Kadar vaksinasi Malaysia kini tertinggi. Buktikan apa yang anda maksudkan dengan kerajaan gagal,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Tindakan Shahidan mempertahankan kerajaan itu menyusul dua minggu selepas partinya, Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin disebabkan cara kerajaan “menguruskan pandemik Covid-19 yang lemah”.

Sementara itu, Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mempersoalkan kenapa sidang Parlimen tidak diadakan lebih awal kerana kerajaan yang berusia kurang dua tahun sudah membelanjakan lebih RM800 bilion dalam pakej rangsangan.

Katanya, rang undang-undang tambahan perlu dibentangkan untuk dibahas oleh Ahli Parlimen.

“Negara lain tidak membelanjakan wang sebanyak ini dan keadaan mereka lebih baik,” katanya sambil menambah pergelutan rakyat dan ekonomi menunjukkan Putrajaya gagal menguruskan krisis kesihatan.

Berbeza dengan Shahidan, beliau mempersoalkan alasan “kelewatan” memberi vaksin kepada rakyat yang menyebabkan lebih banyak kematian dan kes bunuh diri.

Berbanding memvaksin rakyat katanya, kerajaan melaksanakan darurat dan sekatan pergerakan, walaupun di negeri Shahidan, Perlis dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah.

“Kerajaan tidak mempunyai kemahiran untuk menguruskan negara.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *