Pertukaran Pengarah Kesihatan Sabah Tiada Kaitan SOP ‘Dine in’, Kata Masidi

Dr Christina Rundi (kiri) memilih untuk bersara awal selepas Kementerian Kesihatan mengekalkan keputusan memindahkan beliau ke ibu pejabat di Putrajaya.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun menjelaskan bahawa pertukaran pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) baru-baru ini tiada kaitan dengan prosedur operasi stndard (SOP) membenarkan rakyat makan di restoran yang diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Negeri.

Katanya, pertukaran itu dibuat atas keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai tinggi di Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dr Christina Rundi antara beberapa pegawai tinggi yang dikenal pasti ada potensi untuk pegang jawatan lebih tinggi di KKM dan beliau ditukar ke ibu pejabat sebagai persediaan untuk mengisi salah satu jawatan penting akhir tahun ini apabila penyandangnya bersara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Ketua Menteri bagi pihak kerajaan negeri sendiri merayu agar Christina dikekalkan di Sabah dalam keadaan pandemik Covid-19 yang serius tetapi kerajaan persekutuan tidak dapat mempertimbangkannya atas sebab tertentu.

“Saya sendiri juga telah menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah), merayu agar Christina dikekalkan atau sekurang kurangnya bertukar hanya pada hujung tahun.

“Hisham memaklumkan keputusan ini di peringkat Ketua Setiausaha Negara yang melibatkan pergerakan pertukaran pegawai tinggi lain kerajaan pusat.

“Kerajaan pusat juga secara rasmi memaklumkan kepada kerajaan negeri, rayuan itu tidak dapat dipertimbangkan atas sebab-sebab keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai tinggi di kementerian terlibat.”

Masidi berkata, polemik pertukaran jawatan pengarah JKNS itu harus dihentikan agar pihak berkaitan menumpukan semua usaha dalam mengurus serta melawan ancaman penularan Covid-19.

Katanya, semua pihak harus memberi peluang kepada pengarah JKNS baharu membuktikan kewibawaan dan kemampuannya mengurus ancaman Covid-19, sama dengan peluang yang diberikan kepada Christina.

“Pengganti Christina ialah Dr Rose Nani Mudin, anak jati Sabah yang berasal dari Papar. Bapanya (kaum) Kadayan dan ibunya Kadazan, beliau juga mempunyai latar belakang kepakaran sama dengan Christina.

“Kita sayang dan mengiktiraf dedikasi kerjaya Christina kerana itu kerajaan negeri merayu beliau dikekalkan tetapi kita menerima hakikat beliau juga seorang pegawai perkhidmatan awam yang tertakluk kepada pertukaran pada bila-bila masa untuk bertugas di tempat lain.

“Semasa mula-mula dilantik dalam perkhidmatan awam, semua pegawai kerajaan akur dengan syarat ini.”

Semalam, Christina dilaporkan memilih untuk bersara awal selepas KKM mengekalkan keputusan memindahkan beliau ke ibu pejabat di Putrajaya.

Difahamkan, Christina juga mengemukakan rayuan untuk menangguhkan pemindahannya sehingga hujung tahun ini atas alasan sama dan untuk menjaga ibunya yang tua.

Seorang pegawai kerajaan Sabah berkata, Christina dipindahkan untuk menjadi Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga dan akan dilantik ke jawatan lebih tinggi kemudian.

”Kami dimaklumkan Kementerian Kesihatan yang Christina sebahagian daripada proses pemindahan dan kenaikan pangkat yang sedang dilakukan dalam KKM.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost