Covid-19: 207 Kematian, Tertinggi Setakat Ini

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan Covid-19 di negara ini dengan 207 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,201 kes atau 0.80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, kes kematian itu membabitkan 184 warganegara, manakala 23 lagi warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 21 Julai iaitu 199 kematian.

Sementara itu, jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini 1,009 orang dengan 524 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lalu adalah 9,372, menjadikan jumlah kumulatif 853,913 kes atau 83.1 peratus, manakala kes aktif kini sebanyak 165,840 kes,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan apabila merekodkan sebanyak 14,516 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,027,954 kes.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 95 kes atau 0.7 peratus adalah daripada kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan dengan 97.9 peratus kes tiada sejarah vaksinasi.

“Terdapat 77 kes atau 0.5 peratus adalah kategori 4 yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dengan 85.7 peratus kes tiada sejarah vaksinasi. 83 kes lagi atau 0.6 peratus adalah kategori 3 yang mengalami radang paru-paru dengan 67.5 peratus kes tiada sejarah vaksinasi.

“Sebanyak 7,045 kes atau 48.5 peratus pula adalah kategori 2 yang mengalami gejala ringan dengan 87.6 peratus kes tiada sejarah vaksinasi. Manakala, 7,216 kes atau 49.7 peratus adalah kategori 1 yang tidak bergejala dengan 95.6 peratus kes tiada sejarah vaksinasi,” katanya memaklumkan, secara keseluruhan, sebanyak 1.8 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dengan 84 peratus tiada sejarah vaksinasi.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 98.2 peratus kes pula pada kategori 1 dan 2 dengan 92 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Kebanyakan kes baharu yang didiagnosa Covid-19 iaitu 92 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *