Lelaki Dakwa Diri Kebal Bisa Maut Dipatuk Ular Tedung

Lelaki Ular maut selepas dipatuk ular tedung paling berbisa. 

MANILA: Lelaki Filipina yang mendakwa dirinya Lelaki Ular kerana kebal daripada bisa ular, maut selepas dipatuk di lidah ketika cuba mencium reptilia itu.

Bernardo Alvarez, 62, sempat menangkap ular jenis Tedung Filipina Utara sebelum meninggal dunia, apabila ular itu memasuki rumah penduduk pekan Mangaldan, wilayah Pangasinan pada 9 Julai lalu.

Dilaporkan, penduduk bersorak apabila Bernando berjaya menangkap ular berbisa itu dan dia dikatakan cuba menunjukkan aksi kepada mereka yang berkumpul.

Bernando memegang ular tedung itu dan membawa ia rapat ke muka untuk melakukan aksi seperti mencium reptilia berkenaan.

Malangnya, spesies itu yang dikenali sebagai paling berbisa di dunia mematuk mulut Lelaki Ular terbabit dan terkena lidahnya, sebelum dia jatuh dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Pegawai Kesihatan Wilayah Dr Anna de Guzman berkata, bisa ular boleh menyebabkan lumpuh dan itu yang berlaku kepada Lelaki Ular itu.

“Kelumpuhan boleh menghentikan pernafasan mangsa, memberi kesan kepada oksigen dalam badan dan menghentikan degupan jantung,” katanya.

Ketika petugas kesihatan memeriksa Bernando, lelaki itu sudah tidak memberi reaksi dan badannya kaku kesan daripada bisa ular, malah mengesankan racun daripada patukan itu meresap ke sistem respiratori yang terus membawa maut. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *