Tiada Kompromi Majikan Lindungi Pekerja PATI – JIM Sabah

Jonathan Yasin (dua dari kanan) bersama pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan terhadap individu yang ditahan dalam Operasi Patuh Bersepadu di Kundasang, Ranau, Sabah.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah tidak berkompromi terhadap mana-mana majikan yang mengambil pekerja mahupun melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Berikutan itu, usaha menggempur lokasi yang disyaki dihuni pekerja asing diteruskan menerusi Operasi Patuh Bersepadu yang diadakan bermula 12 tengah malam, semalam sehingga awal pagi ini di sekitar Kundasang, Ranau.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, daripada 173 orang yang diperiksa, 65 orang PATI berusia antara setahun hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Dalam operasi ini, kita menahan 43 orang dewasa serta 22 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang disyaki masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport yang sah, tinggal melebihi masa selepas tamat tempoh pas serta menggunakan permit masuk, pas dan dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan yang palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Ahli Parlimen Ranau ini berkata, serbuan kali ini melibatkan 10 lokasi sekitar Kundasang dan Ranau hasil aduan awam yang diterima Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Ranau.

Operasi ini diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Romel Macoco Rodolfo dan disertai 98 orang anggota terdiri daripada pegawai imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Menurut Jonathan, operasi yang dijalankan bertujuan membanteras PATI dan mana-mana pihak berkaitan yang melakuken kesalahan di bawah Akta Imigresen, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, Akta Anti Pemerdagangan Orang (pindaan 2010) dan Akta Penyeludupan Migran 2007.

“Kita akan mengambil tindakan undang-undang tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan terlibat dalam sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini,” katanya.

Kesemua 65 orang PATI yang ditahan turut menjalani proses tapisan kesihatan termasuk saringan Covid-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen. Langkah ini bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah beliau, sejak awal tahun ini, seramai 1,061 orang PATI ditangkap menerusi 601 operasi yang dijalankan JIM Sabah, manakala 34 majikan telah didakwa.

Sehingga kini, 1,739 orang tahanan warga asing diusir keluar ke negara asal masing-masing.

Jonathan juga memohon kerjasama rakyat Sabah untuk melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *