Jangkaan 20,000 Kes Sehari Dalam Tempoh 2 Minggu, Pakar Beri Amaran

GEORGE TOWN: Negara bakal menyaksikan 20,000 kes jangkitan Covid-19 sehari dalam tempoh dua minggu lagi selepas mengambil kira varian Delta yang mempunyai kebolehjangkitan dua kali ganda lebih tinggi berbanding strain virus sebelum ini.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Kumitaa Theva Das berkata, berdasarkan laporan data, jangkitan varian Delta semakin mengatasi varian lain.

Beliau juga berkata, jumlah kematian harian dijangka mencecah 200 orang susulan sistem kesihatan awam dalam keadaan tertekan.

Kumitaa berkata, sungguhpun tahap bahaya varian Delta tidak melebihi varian lain, namun rekod kematian Covid-19 diunjurkan lebih tinggi kerana kemudahan rawatan dan penjagaan di hospital terhad ketika ini.

“Varian baharu jarang menjadi semakin berbahaya kerana ia bergantung kepada manusia untuk terus hidup.

“Tetapi varian berkenaan berevolusi untuk menjangkiti manusia pada kadar lebih cepat seperti yang kita lihat ketika ini. Kita akan mula melihat jumlah kematian lebih tinggi kerana sistem kesihatan semakin ditekan,” katanya.

Bersandarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), sejumlah 195 kes varian Beta dan 67 kes varian Delta dicatat sehingga Isnin lalu. Bagaimanapun 48 kes Beta dan 27 kes jangkitan Delta dilaporkan semalam.

Kumitaa berkata, jumlah kes membabitkan varian Beta adalah tinggi ketika ini, manakala varian Delta merebak pada kadar pantas. Katanya, varian Beta menyumbang lima kes dalam tempoh empat hari, berbanding varian Delta hanya memerlukan sehari untuk menyumbang lima kes jangkitan.

Beliau berkata, berasaskan nilai Ro/Rt atau kadar kebolehjangkitan yang berada pada angka 1.14 semalam, virus berkenaan menular pada kadar lebih cepat, sekali gus menyebabkan kes positif Covid-19 juga bertambah.

Katanya, berdasarkan lebih 11,000 kes direkodkan semalam, jumlah kes positif harian Covid-19 diunjurkan berganda pada kadar 1.14.

Bacaan Ro/Rt dijadikan petunjuk perubahan pada masa dan tempat, selain digunakan untuk meramal jangkitan, sama atau terhapus. Nilai di bawah ‘1’ menunjukkan virus semakin lemah sehingga mati.

Varian Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi. Data daripada 64 negara menunjukkan seseorang yang dijangkiti varian itu mempunyai kemungkinan 97% menjangkiti orang lain berbanding varian sebelum ini, katanya.

Kumitaa berkata kerajaan boleh menggunakan kit saringan kendiri yang menggunakan air liur untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *