SPRM Sabah Tahan Pembantu Tadbir & Wakil Ketua Anak Negeri

Suspek disyaki menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan mengemukakan invois sebuah syarikat dengan pemiliknya mempunyai kaitan dengan suspek.

KOTA KINABALU: Seorang ketua pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan di Lahad Datu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai terbabit kes rasuah berjumlah lebih RM24,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di pejabat SPRM cawangan Lahad Datu kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan suspek disyaki menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan mengemukakan invois sebuah syarikat yang pemiliknya mempunyai kaitan dengan suspek.

“Suspek kini dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin,” kata sumber.

Sementara itu dalam kes berasingan, SPRM Sabah turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) kerana disyaki memperdaya seorang wanita untuk memperolehi wang tunai berjumlah kira-kira RM1,000.

Sumber berkata, suspek yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di pejabat sama selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan suspek memperdaya seorang wanita kononnya boleh membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan wanita itu dan adiknya.

Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan dua tangkapan itu.

Katanya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, esok,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *