Penerima Vaksin Sinovac, Sinopharm Boleh Masuk Arab Saudi Dengan Dos Tambahan

DAMMAM: Individu yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac dan Sinopharm perlu mengambil dos tambahan yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi sebagai syarat untuk masuk ke negara itu.

Syarat terbaharu itu terkandung dalam peraturan terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi, demikian diumumkan Pihak Berkuasa Tambak King Fahd (KFCA), Ahad.

Berdasar peraturan kesihatan yang sudah dikemaskini, individu yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac dan Sinopharm perlu mengambil dos tambahan yang diiktiraf sama ada Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.

Saudigazette melaporkan, satu lagi syarat yang perlu dipatuhi adalah membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam tempoh 72 jam selepas tiba ke negara itu.

Pendekatan baharu itu diambil susulan kebimbangan bahawa vaksin Covid-19 yang digunakan sebilangan besar negara membangun tidak mampu menghalang penularan varian Delta.

Ia mendorong beberapa negara untuk menawarkan dos ketiga untuk meningkatkan imuniti terhadap strain virus berkenaan.

Menurut laporan, pihak berkuasa kesihatan negara seperti Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan untuk memberi dos tambahan kepada individu yang sudah menerima vaksin dari China, iaitu Sinovac Biotech dan Sinopharm. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *