UMNO Sabah Kekal Bersama GRS – Bung Moktar

Umno Sabah akan tentukan masa depan sendiri, kata Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan tetap bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun kepimpinan pusatnya memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Bung Moktar Radin, berkata Umno Sabah percaya tiada alasan untuk meninggalkan GRS kerana kerajaan negeri berkenaan menjalankan tugasnya.

“Umno Sabah berpendapat, GRS mesti dipertahankan, sejajar dengan mandat rakyat. GRS akan tetap utuh,” kata Bung, salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi GRS, kepada FMT.

“Pertama sekali, kami baru sahaja mengadakan pilihan raya negeri, dan kedua, tidak perlu keluar daripada kerajaan (negeri) sekarang kerana masih berfungsi dan mendapat kepercayaan rakyat untuk mengatur ekonomi, negeri dan rakyat.

“Umno Sabah akan tentukan masa depan kami sendiri.”

Bung bagaimanapun berkata, dua Ahli Parlimen Umno Sabah – beliau sendiri, mewakili Kinabatangan dan Mohamad Alamin (Kimanis) – akan menurut keputusan parti di peringkat persekutuan.

“Jika tidak, itu bermaksud kami perlu keluar daripada parti,” katanya sambil tertawa.

Menjawab sebuah soalan, Bung berkata, Umno Sabah buat masa ini belum menetapkan syarat kepada GRS untuk kekal bersama gabungan pemerintah negeri.

“Saya percaya apa sahaja boleh dibincangkan,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengumumkan bahawa parti itu secara rasmi menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan memintanya meletak jawatan selepas mendapati beliau gagal memuaskan syarat yang ditetapkan Umno bagi mendapat sokongannya.

Perkara itu diumumkan Zahid pada sidang media seusai mesyuarat lebih empat jam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, melewati tengah malam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost