STAR Puji Ketegasan UMNO Sabah Kekal Bersama GRS

Jeffrey Kitingan berkata, pembangkang ada membuat cubaan bagi mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada, namun cubaan mereka gagal.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan, memuji keputusan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, mengekalkan sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, keputusan Bung Moktar adalah manifestasi autonomi Umno Sabah, sekali gus membuktikan parti berkenaan mengutamakan rakyat Sabah.

“Kerajaan GRS dipilih secara demokrasi sebagai kerajaan di negeri ini. Kita diberi mandat oleh rakyat menumpaskan kerajaan pintu belakang tahun lalu.

“Pembangkang ada membuat cubaan bagi mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada, namun cubaan mereka gagal kerana parti membentuk GRS memahami kuasa sebenar hanya berada di tangan rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, oleh sebab itu, GRS berterusan bekerja keras untuk rakyat, selain komited memenuhi janji kempen manifesto bagi membawa Sabah maju ke hadapan.

Terdahulu, Bung Moktar berkata Umno Sabah kekal bersama GRS walaupun keputusan di peringkat pusat mengambil pendirian menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata Umno Sabah percaya tiada keperluan bagi parti berkenaan di negeri itu keluar daripada GRS selepas mengambil kira kerajaan yang mentadbir Sabah berfungsi.

Dalam pada itu, Kitingan ketika mengulas lanjut, berkata STAR memberi jaminan menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor. Beliau menyarankan ahli partinya kekal bertenang dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, berkata menjadi tanggungjawab kerajaan negeri melindungi kepentingan rakyat Sabah tanpa mengira pertikaian politik yang sedang berlaku di Semenanjung.

“Apa sahaja yang berlaku di sana, biarkan kekal di sana. Bagi Ahli Parlimen seperti saya, Sabah adalah keutamaan. Apa sahaja keputusan dibuat di sini adalah demi kepentingan negeri. Kita wajib menghormati mandat rakyat. Kita tidak mahu mereka menjadi mangsa,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost