‘Telur Rebus Dikupas Tapi Mereka Edit Jadi Telur Penyu’, Bodoh!! Kata Bung Moktar

Gambar asal yang mana pegawai pembangunan komuniti berkata, beliau memuat naik gambar itu melalui akaun Facebooknya.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin, menafikan dakwaan beliau menikmati hidangan bersama telur penyu sebagaimana tular, dan menyatakan gambar itu disunting oleh musuh politik untuk mencemarkan imejnya.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag berkata, gambar asal tanpa telur penyu sudah dimuatnaik oleh pegawai pembangunan komuniti Lamag.

“Bodoh, (gambar) kena edit, sudah ada di FB saya kongsi dengan semua orang. Telur itu dikupas tetapi mereka edit jadi telur penyu.

“Gambar dah lama sebulan yang lalu. Memang tidak betul. Facebook saya ada gambar asal,” kata Ketua Umno Sabah itu ketika dihubungi.

Bung berkata, pegawai pembangunan komunitinya yang hanya dikenali sebagai Rezo juga sudah membuat hantaran menafikan perkara itu di akaun Facebooknya. Bung turut membuat hantaran semula “posting” berkenaan di Facebooknya.

Ketika ditanya, siapa yang pada pemikirannya membuat suntingan gambar itu, Bung berkata “Saya tidak mahu menuduh, tetapi itu kerja musuh politik”.

Gambar yang memaparkan Bung dan Rezo memberikan isyarat bagus ketika menikmati hidangan tular di Facebook sejak pagi tadi.

Dalam hantaran Facebooknya, Rezo yang menggunakan nama “Rapidcdorezo” mempertahankan Bung dan menyertakan gambar asal bersama telur yang diletakkan atas pinggan.

“Sehubungan dengan tindakan saya yang memuat naik gambar bersama dengan Bung Moktar Radin yang tular adalah milik peribadi saya yang disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Di sini saya sertakan semula gambar yang sebenar dan dengan ini saya ingin memohon maaf kepada Bung Moktar Radin atas tindakan pihak luar yang telah memanipulasi gambar sebelum ini,” katanya di Facebook.

Menteri Pelancongan, Budaya dan Persekitaran negeri, Jafry Ariffin yang juga Setiausaha Umno Sabah berjanji akan menyiasat perkara itu selepas gambar berkenaan tular.

Bung mengalu-alukan siasatan dan berkata beliau sedia memberikan kerjasama.

Ditanya sama ada beliau mahu membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Bung berkata tidak bercadang berbuat demikian.

“Nak buat laporan, tak payah lah, kita jawab saja, nanti orang kata kita macam Pakatan Harapan, sikit-sikit ‘report’ polis,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *