KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah meminta pihak berkuasa supaya lebih bertimbang rasa terhadap perniagaan selepas seorang pemilik restoran didenda RM2,000 kerana didakwa beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan walaupun menurutnya, restoran itu ditutup pada hari itu.
Aderick Chong, yang mengusahakan gerai KK Food Street di Asia City, kecewa selepas usahanya berunding dengan pihak berkuasa gagal. Beliau didenda pada 22 Jun.
Setiausaha MTUC Sabah, Catherine Jikunan berkata, pihak berkuasa harus menunjukkan perasaan empati terhadap cabaran dan kesukaran yang dihadapi pengusaha perniagaan dan pekerja mereka dalam keadaan semasa.
“Tidak mendengar alasan mereka sama dengan mengganggu mereka,” katanya.
Beliau mengakui bahawa anggota penguatkuasaan sekadar menjalankan tugas mereka tetapi katanya, mereka juga boleh menggunakan budi bicara dalam situasi luar biasa seperti itu.
Chong berkata, kejadian itu berlaku pada 8 malam ketika beliau dan pekerjanya hendak menutup kedai.
Sebelum itu katanya, beliau memasak hidangan makan malam untuk kakitangannya, sambil menambah, mereka makan secara berasingan di dapur.
“Kedai kami bergantung 99.9% kepada platform penghantaran makanan dalam talian yang saya percaya semuanya berhenti menerima tempahan pada 6.30 petang.
“Pada asalnya, perniagaan kami sudah ditutup pada masa itu,” katanya kepada FMT.
Waktu operasi perdagangan harian di Sabah kini adalah dari 7 pagi hingga 7 malam.
“Semua lampu di kedai dimatikan kecuali di kawasan dapur. Ketika pihak berkuasa datang, mereka mempertikaikan bahawa saya masih menunggu (tempahan daripada) pelanggan kerana dapur saya belum dikemas dan makanan tidak disimpan.
“Saya menafikannya, tiada lagi pelanggan di Asia City pada waktu itu. Tak boleh tempah (makanan) pun di aplikasi penghantaran makanan selepas 6.30 petang.
“Saya juga sebelum ini menolak tempahan daripada pelanggan yang mahu mengambil makanan dari kedai saya selepas 7 malam,” katanya.
Chong berkata, setelah kedai ditutup, pekerjanya biasanya akan membersihkan premis tetapi mereka selesai sedikit lewat malam itu kerana makan malam.
“Menjelang 7 malam, semua restoran sudah ditutup, itulah sebabnya saya masak untuk mereka. Di mana lagi mereka boleh dapatkan makanan?
“Kami baru saja selesai (setelah makan malam) dan saya tidak dapat melakukannya lebih awal kerana tempahan mungkin menderu masuk dari 6 petang hingga 6.30 petang.
“Setelah kami selesai memasak, sudah pukul 7 malam … tetapi jawapan yang saya dapat (daripada pihak berkuasa) ialah ‘jangan terima (tempahan)’.
“Saya tidak boleh menolak tempahan yang datang. Oleh itu kami berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkan tempahan tepat pada waktunya tetapi pastinya kami tidak menerima tempahan selepas itu,” katanya.
Chong berkata, beliau mungkin menempah padah setelah menunjukkan kepada polis tempahan yang diterima melalui aplikasi penghantaran makanan.
“Malangnya ada satu tempahan yang diselesaikan pada 7.30 malam tetapi saya rasa itu bukan salah kami kerana penunggang kadang-kadang mengambil dan menghantar makanan lewat. Tempahan hanya akan dianggap selesai setelah penunggang selamat menghantar makanan.
“Saya beritahu pihak berkuasa dengan tenang bahawa saya tidak berniaga atau mengambil tempahan lagi tetapi mereka tidak mahu mendengarnya,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak berada di kedai ketika tempahan terakhir diambil penunggang.
Dalam kes sebegini, MTUC berpandangan pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati.
Kata Jikunan, orang ramai sedar kedai ditutup pada 7 malam sekarang tetapi tidak wajar kedai menamatkan operasi sejam lebih awal kerana mereka akan kehilangan perniagaan yang sangat diperlukan.
“Sudah tentu setelah berjam-jam bekerja para pekerja juga berhak makan malam sebelum pulang ke rumah, bukan?
“Jadi mereka harus bertimbang rasa, bergantung pada situasinya. Jika terbukti salah, maka hukuman harus dikenakan tetapi jika majikan melakukannya demi kebaikan pekerjanya, adakah itu salah?
“Adakah ini dianggap makan dalam premis? Atau patutkah mereka makan dengan lampu dimatikan?” soal beliau.
Tambahnya, beliau menerima banyak aduan mengenai perniagaan yang didenda hanya kerana masih ada pekerja membersihkan kedai misalnya, selepas waktu operasi.
Sementara itu Chong berkata, beliau akan menemui pegawai kesihatan untuk menjelaskan kesnya.
“Kadang-kadang saya rasa hendak bayar sahaja (denda), tetapi RM2,000 (nilainya) banyak, terutamanya pada masa seperti ini ketika kita sedang berjimat cermat,” katanya.
Yang lebih mengecewakan kata Chong, ialah beliau bukan sahaja mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan selama ini, malah turut menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi premis dan pekerjanya.
“Antara lain, SOP di kedai saya adalah penjarakan fizikal 2 meter untuk semua penunggang, pelanggan mengimbas kod QR untuk mengakses menu makanan dan tiada penunggang atau pelanggan dibenarkan menggunakan tandas.
“Pekerja saya juga tidak dibenarkan balik kampung. Kalau balik, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di kampung mereka dan menjalani ujian calitan sebelum kembali bekerja,” katanya.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah Foo Ngee Kee berkata, pihak berkuasa harus lebih bertimbang rasa ketika menjalankan tugas berdasarkan keadaan.
Beliau menasihatkan Chong untuk mengemukakan rayuan kepada jurucakap Covid-19 negeri Masidi Manjun untuk membantu membatalkan atau meringankan hukuman, terutamanya ketika kebanyakan perniagaan kecil sedang bergelut. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost