PPM DUN Sebatik Akan Diisi Calon UMNO

Hassan A Gani

TAWAU : Kekosongan jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik akan diisi calon daripada UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berkata kuota untuk jawatan PPM di DUN Sebatik memang akan diisi oleh pihak UMNO seperti yang telah dipersetujui.

“Perbincangan sudah dibuat bersama parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bersetuju jawatan itu diserahkan kepada UMNO.

“Kami masih menunggu daripada mereka untuk mengemukakan senarai calon mengisi jawatan PPM Sebatik sebelum unit ini ditubuhkan,”katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya sendiri sudah berjumpa dan mengadakan perbincangan bersama Ketua Bahagian UMNO Kalabakan berhubung perkara ini.

“Kami berharap mereka mengambil tindakan segera untuk memilih calon sesuai kerana jawatan itu sangat perlu bagi pergerakan membantu masyarakat,”katanya

Mengulas mengenai keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di DUN Sebatik, katanya buat masa ini seramai lebih 5000 ahli daripada 98 cawangan telah bersama mereka.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak  64 cawangan adalah daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Saya bersyukur kerana sambutan penduduk di DUN Sebatik menyertai BERSATU sangat menggalakan dan semakin diterima.

“Setakat ini, kami belum agresif untuk mencari keahlian baharu kerana tumpuan utama adalah membantu mangsa COVID-19 dan pembangunan di DUN Sebatik,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *