Kekuatan PBS Dalam GRS Tak Akan Goyah – Maximus

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) tetap utuh di dalam  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sebagai tulang belakang kerajaan negeri, tiada alasan bagi PBS untuk menggoyahkan kekuatan dan perpaduan dalam kerajaan campuran ini, kata Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili juga berkata PBS memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS di atas kepimpinannya. 

PBS akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan ketua menteri dan jentera parti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan strategi dan pembangunan Sabah Maju Jaya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ongkili yang juga timbalan pengerusi GRS menjelaskan kenyataan beliau baru-baru telah disalah tafsir dan mengejutkan pihak tertentu serta dimanipulasi dengan sengaja bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. 

“Niat sebenar saya ialah menyatakan keterbukaan parti ini kepada pembangkang terutamanya Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mencapai matlamat pembangunan bersama untuk kebaikan Sabah dan warga Sabah. Saya tidak menyatakan lebih daripada keterbukaan untuk bekerjasama.

Warisan yang terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk persahabatan dan kerjasama serta  presidennya (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) melakukannya semasa Ramadan, satu bulan untuk menjalinkan persahabatan. Jadi adalah wajar bagi kami untuk menzahirkan gerak isyarat sama untuk suatu persahabatan,” kata Ongkili.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata bahawa hanya menerusi kerjasama, persahabatan dan sokongan politik, negeri ini boleh dibangunkan sepenuhnya dan tidak semestinya untuk menubuhkan satu perikatan atau gabungan.

“Hasrat PBS adalah untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan Warisan pada peringkat Perikatan Nasional (PN).  Selaku Presiden PBS saya telah mengajak Warisan supaya mempertimbangkan untuk menyertai PN sebagai ahli atau rakan kongsi. Kami gembira untuk menjadi tuan rumah atau penaja kepada penyertaan Warisan sebagai sebahagian daripada PN.   

Selain itu adalah sukar untuk PBS dan Warisan menubuhkan satu perikatan baharu atau sebarang idea sedemikian kerana kami berbeza dari segi identiti dan peranan politik.   PBS lebih dikenali dalam memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963, keselamatan rakyat dan masalah pendatang tanpa izin.

Ia sudah menjadi identiti parti ini sejak penubuhannya 36 tahun dahulu.  Kami boleh bekerjasama untuk meluaskan matlamat mulia ini dan mengukuhkan objektif PN yang lebih meluas.  Saya yakin Warisan mampu menyumbang dalam mencapai aspirasi nasional,” kata Ahli Parlimen Kota Marudu itu.

Baru-baru ini, Mohd Shafie menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PBS dan parti-parti lain di Semenanjung dan ia disambut baik oleh Ongkili yang menyatakan mereka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost