Roket China Terhempas Bila-Bila Masa Sahaja Lagi

Gambar fail menunjukkan roket Long March 5B ketika dilancarkan dari tapak pelancaran di wilayah Hainan, minggu lalu.

BEIJING: Serpihan roket Long March 5B milik China dikatakan akan terhempas pada bila-bila masa sahaja lagi.

Portal The Independent melaporkan, ia selepas roket itu sudah berada di orbit rendah bumi.

Lazimnya, roket tidak mencapai halaju diperlukan untuk mencapai orbit, tetapi ia kini mengelilingi bumi setiap 90 minit atau tujuh kilometer setiap saat.

Ia melepasi utara New York, Madrid, dan Beijing, sehingga ke Chile dan New Zealand.

Tidak dipastikan lokasi roket yang sudah tidak dikawal itu akan terhempas.

CNN melaporkan ia bukan kejadian kali pertama serpihan kapal angkasa lepas terhempas ke bumi.

Tahun lalu, salah satu serpihan kapal angkasa melepasi melepasi Los Angeles dan New York sebelum jatuh di Lautan Altantik.

Bagaimanapun, Long-March 5B yang seberat 20 tan adalah serpihan angkasa lepas paling besar yang akan jatuh ke bumi, sejak 1991, dan keempat terbesar dalam sejarah.

Terdapat kebimbangan ia akan terhempas di penempatan penduduk.

Dalam pada itu, kemas kini di laman web Pejabat Kejuruteraan Angkasa Lepas China menyatakan, roket itu dijangka terhempas di Lautan Hindi.

Bagaimanapun, sukar untuk memastikan sama ada ia adalah pengumuman rasmi atau hanya jangkaan semata-mata.

China menjelaskan risiko kerosakan daripada serpihan roket itu yang jatuh ke bumi adalah ‘sangat rendah’.

Media sebelum ini melaporkan China berjaya melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya pada Khamis dengan menggunakan Long-March 5B

Modul teras Tianhe itu mempunyai peralatan sokongan hayat dan ruang tempat tinggal untuk angkasawan dilancarkan dari wilayah Hainan.

Stesen angkasa lepas Tiangong yang bermaksud Istana Syurga itu dijangka akan beroperasi pada 2022 selepas kira-kira 11 misi lagi untuk menghantar modul lain dan memasangnya di orbit.

Selepas lengkap, ia adalah seberat 90 tan atau kira-kira satu perempat daripada saiz Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

ISS yang juga kerjasama antara AS tidak akan digunakan selepas 2024, meskipun Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyatakan ia boleh beroperasi sehingga selepas 2028.

Selepas ketiadaan ISS, stesen angkasa lepas China itu mungkin menjadi satu-satunya stesen angkasa lepas yang mengorbit bumi. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *