COVID-19: Kapasiti Kesihatan Di Tawau Cukup Setakat Ini

Dr Azman Ibrahim

TAWAU: Jumlah katil dan kelengkapan kesihatan termasuk alat bantuan penafasan dan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi merawat pesakit COVID-19 di Tawau ketika ini masih mencukupi, kata Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata penggunaan katil pesakit COVID-19 di hospital itu mencapai 55 peratus daripada 150 katil yang disediakan, namun katil bagi bilik rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) telah mencecah 90 peratus penggunaan setakat Rabu lepas.

“Manakala 40 peratus katil digunakan di Kompleks Sukan Tawau selain 25 peratus katil lagi digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM),” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Setakat ini, katanya terdapat lebih 200 kes COVID-19 masih aktif direkodkan di Tawau.

Bagaimanapun, Dr Azman berkata peningkatan mendadak kes COVID-19 dikhuatiri boleh memberikan impak terhadap perkhidmatan kesihatan awam termasuk masalah kekurangan kakitangan.

“Di saat Sabah dan Tawau merekodkan kes tertinggi COVID-19 pada Oktober lalu, banyak negeri memberi bantuan namun situasi ketika ini tidak sama lagi kerana negeri-negeri lain turut merekodkan peningkatan kes, sebab itu kita perlu kawal penularan wabak ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk Tawau supaya tidak leka mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.  

Katanya pengajaran perlu diambil daripada kejadian sebelum ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dikuatkuasakan di Tawau sebanyak tiga kali berikutan peningkatan kes COVID-19 ketika itu. 

“Apabila PKP ini ditamatkan, di situ ada majlis sosial dan kes naik, lepas itu kita buat PKP lagi dan kes turun. Penduduk kena ingat keadaan ini, ketika ini menjelang Hari Raya, saya melihat orang mulai bersesak di semua tempat tanpa ikut SOP, jadi kemungkinan untuk kes naik (selepas raya) ada, kerana kesan lupa SOP,” katanya.

Sabah melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 29 April lalu hingga 17 Mei depan berikutan peningkatan zon merah di negeri itu.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *