Lebih 500 Kes COVID-19 Masih Aktif Di Tawau

Dr. G. Navindran

TAWAU : Lebih 500 kes COVID-19 masih aktif di daerah ini yang kebanyakannya di peringkat tiga ke atas dan memerlukan rawatan di Hospital Tawau.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. G. Navindran berkata kelonggaran mengadakan majlis sosial sebelum ini menyebabkan berlakunya peningkatan penularan wabak COVID-19 di daerah ini.

“Kita mendapati ramai yang dijangkiti wabak ini disebabkan mereka menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri dan majlis sosial.

“Sebulan yang lalu, kluster-kluster yang dikesan juga berpunca daripada majlis sosial dan telah merebak di kebanyakan kawasan di daerah ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, di sini semalam.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaksa kita cadangkan di beberapa lokaliti kerana terdapat ramai penduduk yang positif dan boleh menyebabkan penularan wabak.

“Pihak berkuasa bukan suka-suka mahu mengadakan PKPD ini kerana sebagai jabatan yang diamanahkan untuk menangani masalah COVID-19 di sini, perlunya kami menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Petugas kesihatan juga sudah letih kerana bertungkus lumus berusaha menangani pesakit yang positif yang semakin hari bertambah,”katanya.

Menurutnya, bagi mengelak lanjutan PKPD di kawasan yang terlibat, perlunya semua penduduk tersebut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah diberikan.

“Hal ini kerana, PKPD dilaksanakan bergantung kepada jumlah kes yang ada di lokaliti tersebut, sekiranya masih banyak, kita terpaksa lanjutkan lagi.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat Tawau supaya jangan ingkar SOP, kita juga boleh bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti daerah sekiranya semua memberikan kerjasama,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *