Tawau Masih Catat Kes Tertinggi COVID-19 Di Sabah

Sebanyak tujuh daerah masih dikategorikan sebagai zon merah, iaitu Tawau, Sandakan, Putatan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kinabatangan dan yang terkini Papar.

KOTA KINABALU: Tawau kekal sebagai daerah yang mencatatkan pertambahan kes COVID-19 tertinggi dengan 40 kes pada Isnin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dua kes kematian turut dicatatkan dari daerah tersebut.

“Kes harian baharu Sabah menurun kepada 88 kes pada hari ini, berbanding 121 kes kelmarin. Tawau kekal tertinggi dengan 40 kes baharu, Kalabakan 11 kes, Penampang 6 kes,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau, pada Isnin.

Daripada 88 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 64 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, lapan kes saringan bergejala, lapan kes dari kluster baharu dan sedia ada serta lapan kes dari lain-lain kategori.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata, setakat hari ini, sebanyak tujuh daerah masih dikategorikan sebagai zon merah, iaitu Tawau, Sandakan, Putatan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kinabatangan dan yang terkini Papar.

“Daerah Tuaran berubah dari zon merah ke zon jingga, Papar berubah dari zon jingga ke zon merah, Penampang bertukar dari zon kuning ke zon jingga dan Telupid bertukar dari zon hijau ke zon kuning,” katanya dalam kenyataan media berkaitan laporan harian COVID-19. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *