Pelajar Sabah Finalis Global Student Prize Bernilai RM445,000

KENINGAU : Alesyah Asa, pelajar jurusan teknologi pembinaan Kolej Vokasional Keningau, Sabah, telah terpilih sebagai salah satu calon 50 terbaik bagi anugerah Global Student Prize tahun 2022 anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat.

Juara pertandingan akan menerima wang berjumlah US$ 100,000.00 yang bersamaan dengan ringgit Malaysia 445,000.00. Ianya merupakan anugerah pelajar paling berprestij di dunia dan Alesyah Asa merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri untuk anugerah ini pada tahun semasa.

Kenyataan akhbar pencapaian pelajar ini boleh diakses di laman sesawang penganjur: https://www.globalteacherprize.org/person?id=15996

Alesyah Asa berjaya menjadi finalis atas pencapaian dan sumbangannya dalam bidang inovasi, STEM, program pertukaran budaya dan hackathon.

Dia telah pernah mengetuai kumpulannya memenangi pertandingan hackathon anjuran UNESCO pada tahun 2020 berkenaan dengan literasi maklumat dan mereka juga merupakan penerima pertama geran STEAM dari the Awesome Foundation, Amerika Syarikat, berjumlah empat ribu pada tahun yang sama.

Dia juga pernah mewakili Malaysia sebagai duta budaya bagi rombongan pelajar kolej itu yang melawat institusi pendidikan di Korea Selatan pada 2019.

Pelajar ini aktif menyertai pertandingan inovasi dengan mempertandingkan alat binaan bangunan hasil ciptaanya beserta dengan ahli sepasukan.

Menurut pengarah kolej tersebut, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, pencapaian pelajar ini merupakan kebanggaan negara dan ianya membuktikan kualiti pendidikan negara khususnya pendidikan kolej vokasional yang melahirkan pelajar-pelajar yang kompeten, kreatif dan berkarisma.

Dia berharap agar kejayaan ini memberi ilham kepada pelajar-pelajar yang lain untuk merebut peluang yang ada dan mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam bidang yang diminati.


Sekiranya Alesyah memenangi anugerah ini, dia berhasrat untuk memperkembangkan initiative STEM yang melibatkan robotik, dron dan pencetakan 3D ke sekolah-sekolah lain khususnya di Sabah.

Dia juga ingin membantu membina pusat inovasi di kolej itu untuk membantu para pelajar dan guru membangunkan projek mereka dan ianya juga berfungsi sebagai ruang pameran dan pembentangan sebarang projek inovasi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *