Speaker DUN Sabah Sekali Lagi Tolak Usul Shafie

Ketua Pembangkang Sabah Shafie Apdal, berkata ancaman keselamatan dalam usul dikemukakan berhubung kebimbangan keselamatan terhadap Sabah.

KOTA KINABALU : Speaker Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah Kadzim M Yahya sekali lagi menolak usul dikemukakan Ketua Pembangkang Shafie Apdal berhubung isu ancaman keselamatan susulan tuntutan waris kesultanan Sulu.

Permohonan bagi usul itu untuk dibahaskan dihantar semula Shafie yang juga bekas ketua menteri, pada Selasa, selepas ditolak DUN Sabah, sehari sebelum itu.

Kadzim dalam sidang DUN Sabah, hari ini, berkata usul itu ditolak mengikut peraturan tetap 23A (2) iaitu mana-mana usul yang ditolak di bawah perenggan satu tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh dibacakan dalam majlis mesyuarat.

“Maka, permohonan itu saya tolak dan saya telah sampaikan kepada Yang Berhormat (Shafie),” katanya menurut Sinar Harian.

Sebelum itu, Shafie memaklumkan bahawa surat untuk meminta izin membawa satu usul untuk membincangkan dan membahas usul itu telah dihantar, pada Selasa.

“Permohonan semula meminta izin majlis membawa satu usul untuk membincang dan membahas mengenai keselamatan, bukan pasal Azerbaijan, bukan pasal mahkamah di Sepanyol, tetapi keselamatan ancaman yang ada.

“Perkara ini cukup penting dan kita menuntut autonomi kita dan perkara ini untuk memastikan keselamatan. Kita tidak mahu nanti mereka sudah ada duit, jangan nanti tunggu berlaku kejadian-kejadian di bumi Sabah, keselamatan ini cukup penting dalam perlembagaan artikel 140,137 bidang kuasa ini tertakluk kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, asas usul itu ditolak sebelum ini kerana ia dihantar kurang daripada 24 jam, sebelum sidang DUN berlangsung dan ia dihantar semula untuk dibentang pada hari seterusnya.

“Datuk Speaker telah sebutkan dalam persidangan yang lalu iaitu masa yang singkat (usul dihantar), asasnya masa yang singkat 24 jam. Jadi saya tunggu dari hari Selasa, hari Rabu dan hari ini Khamis pengakhiran kita (usul tidak dibentangkan),” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *